DUNGUN – Seorang pekerja pelantar minyak maut manakala isteri dan bayi lelaki mereka cedera ringan selepas kereta Perodua Kelisa yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 343.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kawasan Rawat dan Rehat Paka dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, Muhammad Aniq Hakim Rozmi, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala isterinya, Nur Fatinie Rokhman, 24, dan bayi mereka, Muhammad Adam Rizqi yang berusia setahun enam bulan pula hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, tiga sekeluarga itu difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kemaman selepas pulang bercuti hujung minggu ke kampung di Kota Bahru, Kelantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kelisa yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan. Impak daripada rempuhan itu, mangsa (Muhammad Aniq Hakim) tersepit di dalam tempat duduk pemandu kereta tersebut yang remuk teruk,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. – K! ONLINE











