Kem Guantanamo diteruskan untuk tempoh 25 tahun lagi - Utusan Malaysia

Kem Guantanamo diteruskan untuk tempoh 25 tahun lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CUBA 17 Okt. – Kem tahanan Guantanamo di Cuba akan terus dibuka sekurang-kurangnya selama 25 tahun lagi walaupun sebelum ini bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berikrar untuk menutup kem kendalian tentera negara itu.

Menurut Komander Pasukan Petugas Bersama Guantanamo, Laksamana Muda John Ring, kem yang terletak di Teluk Guantanamo dan menempatkan sebahagian besar tahanan yang disyaki terlibat dalam serangan 9/11 kini menumpukan usaha bagi memastikan kemudahan berkenaan dikekalkan selama 25 tahun lagi’.

Pada Januari lalu, Pre­siden Donald Trump memeterai pe­rintah eksekutif memansuhkan arahan Obama yang dibuat pada 2009 supaya kem ber­kenaan ditutup, telah mencetuskan kritikan antarabangsa.

“Pihak (pentadbiran Trump) memberitahu, kami akan te­rus berada di sini sehingga 25 tahun atau lebih,’’ katanya.

Pihak Pentagon telah ‘menghantar memorandum tentang rancangan mengekalkan’ kem itu untuk sekurang-ku­rangnya 25 tahun lagi, kata Ring semasa lawatan wartawan yang dianjurkan oleh tentera AS bertujuan menunjukkan bahawa tahanan di kem itu diberi la­yanan yang baik.

Pada Disember lalu, pakar penderaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nils Melzer berkata, laporan sumber menunjukkan sekurang-kurangnya seorang tahanan masih lagi diseksa di kem tersebut.

Kata Melzer, beliau me­nerima maklumat penderaan menggunakan getaran dan bunyi bising dilakukan terhadap tahanan yang disyaki merancang serangan 9/11, Ammar al-Baluchi.

Dianggarkan 780 orang ditahan di kem itu, kebanyakannya atas tuduhan mempunyai hubungan de­ngan kumpulan Al-Qaeda dan Taliban.

Ketika pentadbiran Obama dan bekas Presiden George Bush, Amerika telah membebaskan beratus-ratus tahanan terbabit.

Kem itu tidak lagi menerima tahanan sejak 2008 tetapi masih terdapat seramai 40 lagi tahanan di kem berkenaan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN