Kekeliruan menuntut ilmu - Utusan Malaysia

Kekeliruan menuntut ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANPA ilmu pengetahuan tentang pasaran saham, seseorang pelabur dan pedagang saham tidak akan berjaya. Sekurang-kurangnya perlu mempunyai sedikit pengetahuan tentang apakah saham-saham yang akan dibeli.

Saham yang dibeli itu juga sama ada merupakan saham yang bakal disenaraikan di papan Bursa Malaysia ataupun yang telah sedia ada. Juga, apakah jenis saham yang ingin dibeli? Ini termasuk juga pengertian sesuatu saham atau kategori saham tersebut.

Sebagai contoh, mengapa anda ingin membeli waran dan kenapa bukan saham biasa? Adakah anda tahu bahawa sesuatu waran itu mempunyai tarikh luput? Dan tahukah anda berapakah harga perlaksanaan waran tersebut?

Memuatkan artikel berkaitan…

Sekiranya anda tidak menge­tahui asas-asas saham ini, anda bakal membuat kesilapan yang menjurus kepada kerugian. Kerugian yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya mempunyai pengetahuan asas tentang saham.

Maka, dalam pelaburan saham, ramai yang masih tidak dapat membuat urus niaga saham dengan baik tanpa mempunyai ilmu yang cukup. Sebagai contoh, setelah menghadiri seminar pengenalan saham peserta tersebut akan terus membeli saham sejurus akaun CDS telah diaktifkan.

Mereka tidak sedar bahawa ilmu yang diperoleh setelah ha­dir seminar intro atau pengenalan itu masih tidak mencukupi untuk menjadi pelabur dan pedagang yang bijak dan berjaya.

Untuk menjadi pelabur dan pedagang saham yang bijak dan berjaya pada masa ini, kita tidak boleh melakukan perkara yang sama seperti pelabur dan pedagang saham zaman dahulu. Ba­nyak perubahan atau persiapan yang perlu kita lakukan sebelum melibatkan diri di dalam saham.

Kita perlu belajar daripada pengalaman orang lama agar kita tidak membuat kesilapan seper­ti yang dilakukan oleh mereka dahulu. Dengan mempelajari pe­ngalaman orang lama yang masih bertahan sehingga sekarang mempercepatkan masa bagi seseorang itu untuk mahir dalam selok-belok pasaran.

Tetapi masalahnya, bagaimana seseorang ingin mendapatkan pembelajaran saham yang betul? Persoalan ini telah dijawab di beberapa ruangan yang lepas di kolum ini tetapi oleh kerana Cikgu Saham masih mendapat persoalan daripada orang ramai tentang perkara ini, sekali lagi ia dikupas pada topik hari ini.

Seperti yang sedia maklum, masyarakat mendapati ada ba­nyak seminar atau bengkel pendidikan saham. Justeru, orang yang membaca iklan tentang kelas atau seminar ini lebih tertarik kepada penceramah, cerita-cerita yang memberikan kemewahan dan kekayaan atau mudah cakap penerangan tentang mudahnya untuk buat duit.

Iklan-iklan ini akan mempamerkan peratus keuntungan yang boleh dibuat dalam pasaran saham walaupun bermodalkan wang seba­nyak RM100 atau kurang daripada RM500 sekalipun, pelabur mampu mendapat pulangan pelaburan yang lumayan.

Maka, tanpa berfikir panjang serta membuat kaji selidik, mereka biasanya tidak berfikir panjang dan terus mengikuti kelas-kelas ini walaupun ada yang mengenakan yuran yang mencecah ribuan ringgit.

Mereka juga tidak mendapatkan secara terperinci modul atau atur cara majlis tersebut. Terdapat juga yang tidak melihat gambar-gambar kursus yang diadakan kerana sesetengahnya memasukkan aktiviti permainan atau sesi penyampaian testimoni bekas peserta.

Aktiviti-aktiviti sedemikian dirasakan merupakan satu pembaziran masa oleh sesetengah orang kerana ada yang datang dari jauh bertujuan untuk mempelajari selok-belok pasaran saham. Tujuan menghadiri majlis ilmu ialah untuk mendapatkan satu pengisian yang lengkap atau terperinci setimpal dengan yuran yang dibayar.

Tetapi setelah peserta tamat menghadiri kelas atau seminar tersebut, mereka mendapati pengisian tersebut tidak setimpal dengan yuran yang dibayar. Maka, ada yang kecewa kerana tidak mendapat bimbingan setelah tamat menghadiri seminar serta tidak berapa faham apa yang disampaikan.

Keadaan tidak faham merupakan satu perkara biasa lebih-lebih lagi bagi orang yang langsung tiada pengetahuan tentang pasaran saham.

Terdapat juga yang menyuarakan rasa tidak puas hati kerana penganjur mempunyai beberapa peringkat pembelajaran saham atau modul. Ini juga termasuk peserta disuruh untuk melanggan perisian sistem penyari­ngan kaunter-kaunter yang yuran langganan mencecah empat angka sekiranya peserta masih tidak dapat membuat keuntu­ngan selepas tamat sesi pembelajaran yang pertama.

Terdapat juga penceramah serta kakitangan penganjur yang menyarankan peserta untuk melaksanakan jual beli saham di dalam kelas yang dibuat semasa pasaran sedang diniagakan walaupun peserta belum bersedia dan masih bimbang risiko yang akan dihadapi.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.

Kepada yang ingin mempelajari tentang pelaburan saham di pasaran Bursa Malaysia, sila hubungi talian 019-2352037.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini