BUTTERWORTH 19 Okt. – Sepasang kekasih ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai dalam Op Tapis di Kampung Gajah dekat sini petang semalam.
Lelaki berusia 39 tahun dan teman wanitanya berusia 37 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang di sebuah rumah dan pemeriksaan di atas lantai bilik menemukan tujuh paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 26 gram (g).
Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, polis turut menemukan dua paket palstik berisi dadah jenis ganja seberat 1.6 g dan satu paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 0.2g.
Menurutnya, dadah itu dipercayai untuk dijual kepada penagih di sekitar Butterworth dan nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM1,000.
“Hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis morfin dan amphentamine. Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 25 Oktober.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)a Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










