RELEVAN adalah satu perkataan yang cukup penting dalam menghadapi keadaan semasa dan masa akan datang. Mana-mana organisasi, syarikat mahupun individu perlu sentiasa kekal relevan dalam keadaan apa sekalipun. Jika tidak, organisasi, syarikat mahupun individu tersebut akan lenyap ditelan masa.
Maknanya di sini, organisasi mahupun syarikat tersebut tidak lagi wujud pada masa akan datang manakala, individu pula tidak lagi diperlukan oleh mana-mana pihak mahupun organisasi hatta negara sekalipun. Asasnya, mudah, relevan menjadi tonggak survival atau kelangsungan hidup seseorang. Namun, bagaimanakah caranya untuk kekal relevan sedangkan peredaran zaman menyebabkan banyak perubahan berlaku?
Hal ini berlaku sedemikian kerana banyak syarikat dahulunya cukup unggul kini hanya tinggal nama sahaja ekoran tidak mampu menghadapi suasana semasa dek kerana ledakan teknologi terkini. Untuk kekal relevan, organisasi, syarikat mahupun individu perlu sentiasa bertindak untuk berubah. Perubahan ini perlu berasaskan iltizam yang kuat dan pada masa yang sama cepat bertindak tanpa menunggu masa yang lama. Lagi lama sesebuah syarikat mahupun individu untuk melakukan perubahan, lagi cepatlah syarikat mahupun individu tidak lagi relevan pada masa akan datang.
Jadi, dalam hal ini, syarikat mahupun individu perlu cepat membaca keadaan. Dengan ini, mereka akan mudah belajar bagaimana untuk berubah. Dalam konteks ini, organisasi mahupun individu perlu memiliki pemikiran yang sentiasa inginkan perubahan. Memiliki idea yang banyak dan boleh direalisasikan.
Idea pula selalunya boleh terhasil melalui pengamatan di sekeliling kita dan juga melalui pembacaan. Malangnya, ramai yang tidak mahu belajar kerana berasakan dirinya sudah cukup hebat. Hatta, seseorang pakar dalam sesuatu bidang pun perlu sentiasa belajar perkara baharu dalam kehidupannya, inikan pula bagi mereka yang masih bertatih untuk menjadi seorang pakar. Malah, seseorang individu yang memiliki segulung ijazah juga perlu sentiasa belajar. Tidak wajar terhenti hanya kerana berasakan ilmu sudah cukup di dada. Sebab itulah, belajar itu adalah satu keperluan dalam kehidupan manusia. Malah, seluruh pekerja termasuklah mereka yang menjadi ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi perlu sentiasa belajar agar organisasi atau syarikat mereka kekal relevan.
Dengan belajar, pemikiran seseorang akan lebih segar dan mampu bertindak apabila menghadapi sebarang masalah. Tidak kering idea sehingga tidak mengetahui apakah tindakan susulan yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
Ini cukup penting kerana untuk kekal relevan, setiap masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan tenang, segera dan tuntas. Tidak menanti sehingga masalah kecil menjadi semakin rumit sehingga sukar untuk diselesaikan. Lebih parah lagi, masalah tersebut menjadi barah sehingga merosakkan kehidupan seseorang hatta memusnahkan kestabilan sesebuah organisasi mahupun syarikat. Justeru, jadikan organisasi, syarikat mahupun diri sendiri sentiasa kekal relevan demi survival atau kelangsungan hidup semasa dan masa akan datang.
DR. ROHAMI SHAFIE ialah Profesor Madya Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).










