KUALA KEDAH 7 Okt. – Isu berkaitan penguatkuasaan terhadap kes-kes khalwat dan perkara menyalahi agama Islam seperti yang hangat diperkatakan ketika ini, merupakan antara perkara yang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco, Rabu ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sehingga kini kerajaan negeri masih belum mempunyai pendirian berhubung perkara itu tetapi sentiasa mengambil tahu mengenainya termasuk maklum balas Kerajaan Persekutuan.
“Namun dalam masa sama, saya tak melihat kenyataan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof boleh ditafsirkan seolah-olah beliau membenarkan kegiatan salah laku ini berlaku.
“Bukan itu niat dan tujuan beliau. Kita kena fahamkan hasrat di sebalik kenyataan sebegitu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Aman Laut yang dijangka akan menjadi ikon terbaharu negeri ini, dekat sini hari ini.
Menerusi akhbar The Star semalam, Mujahid dilaporkan berkata, segala apa yang dilakukan oleh individu di sebalik pintu yang bertutup adalah bukan urusan kerajaan.
Kenyataan itu mengundang kecaman banyak pihak namun Ahli Parlimen Parit Buntar itu yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan, kenyataan sedemikian tidak pernah keluar dari mulutnya.
Mengulas lanjut Mukhriz berkata, semua pihak seharusnya perlu memahami akan hasrat sebenar di sebalik kenyataan Mujahid.
Menurutnya, sebelum ini sudah beberapa kali beliau melihat kenyataan dibuat menteri ditafsirkan secara berbeza daripada apa yang dimaksudkan, dan kemudiannya beberapa pihak akan memberi maklum balas bersandarkan tafsiran yang salah tersebut.
“Dalam kes ini, saya fikir semua orang faham apa sebenarnya yang cuba disampaikan. Takkanlah beliau nak buat kenyataan yang membawa maksud untuk menggalakkan salah laku.
“Malah saya fikir, beliau lebih tahu dari kita mengenai perkara itu. Cumanya bagi saya isu salah tafsir ini sama ada sengaja atau tidak, perlu ditangani sebaik mungkin,” katanya.
Katanya, antara perkara lain yang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco itu nanti adalah kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh baru-baru ini mengenai kemungkinan menaikkan had umur perkahwinan untuk wanita di negeri ini kepada 18 tahun
“Secara umumnya kami bersetuju dengan peningkatan umur tersebut namun semuanya akan dibincangkan dalam mesyuarat itu nanti,” katanya.











