KUALA LUMPUR 19 Okt. – Benar kata orang kecantikan itu ibarat magis yang boleh mencairkan pandangan seseorang.
Senario itu berlaku kepada salah seorang penumpang yang terpegun melihat kecantikan seorang pramugari muda sebuah syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Berhad (AirAsia).
Penumpang tersebut, George Wong menerusi hantaran di Facebooknya bersama gambar pramugari terbabit pada Sabtu lalu berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan syarikat penerbangan itu.

“Tambang yang murah dengan pemandangan luar biasa. Apa lagi yang nak dipertikaikan,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Hong Kong.
Gambar pramugari tersebut, Mabel Goo, 24, mula tular di laman Facebook dan turut dikongsi lebih 4,000 pengguna Facebook lain.
Ketika gambar tersebut dirakam, Goo dilihat sedang memberi perkhidmatan kepada para penumpang pesawat bersama sebuah troli makanan.
Menurut Goo, dia diberitahu perkara ini (tular) ke seluruh China dan juga United Kingdom (UK).
“Saya diberitahu ia telah viral di Cina dan UK. Tetapi saya lebih menumpukan perhatian terhadap kerja saya di AirAsia,” jelasnya ketika dihubungi The Star.
Lebih menarik, hantaran status Wong itu turut dipetik oleh sebuah blog terkemuka, World of Buzz pada Isnin lalu.
Sehubungan itu, Wong turut berkongsi paparan blog berkenaan di Facebooknya dan bersyukur tindakan memuat naik gambar pramugari tersebut mendapat maklum balas positif daripada orang ramai.
“Sangat bertuah, kebanyakan maklum balas adalah positif. Kalau tak, saya akan dikecam,” ujarnya.
Hasil carian Utusan Online di laman Instagram, pramugari berbangsa Cina itu turut bekerja sebagai penari sambilan dan mempunyai 125,000 pengikut di Instagram miliknya. – UTUSAN ONLINE











