KUALA LUMPUR 16 Okt. – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih merupakan komponen penting dalam mengukur kemajuan sesebuah negara walaupun terdapat indikator lain yang turut memainkan peranan utama.
Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Prof. Emeritus Dr. Zakaria Abdul Rashid berkata, kebanyakan negara di peringkat antarabangsa tidak bergantung kepada KDNK perkapita semata-mata sebaliknya mengambil kira Indeks Pembangunan Manusia.
Katanya, indeks tersebut tertumpu kepada tiga elemen utama iaitu pendapatan, tahap kesihatan dan pendidikan sedangkan dalam KDNK hanya memberi fokus kepada pendapatan semata-mata.
“Apabila kita bercakap tentang negara berpendapatan tinggi pula, kita menyentuh mengenai Pendapatan Negara Kasar (GNI) dan bukannya KDNK. Malah, GNI juga ada kelemahan tertentu.
“Saya berpendapat kita bukan hendak meninggalkan KDNK ini kerana ia masih merupakan komponen yang penting. Kebanyakan negara maju, KDNK tinggi, tahap kesihatan dan pendidikan tinggi maka ia muncul sebagai negara maju.
“Ada juga negara berpendapatan tinggi yang tidak maju iaitu pendapatan tinggi tetap, tahap kesihatan dan pendidikan adalah rendah. Jadi, ia menjadi negara berpendapatan tinggi yang tidak maju. Sebab itu, kita tidak mahu berada dalam kategori ini,” katanya dalam sidang akhbar Prospek Ekonomi Malaysia Suku Ketiga 2018 di sini hari ini.
Minggu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan tidak akan menjadikan pertumbuhan KDNK sebagai ukuran kejayaan ekonomi negara sebaliknya perlu menggambarkan manfaat yang diperoleh rakyat dengan mempunyai kekuatan kuasa membeli.
Menurutnya, Malaysia kekal terperangkap dalam pendapatan pertengahan kerana tidak berupaya untuk berubah ke arah negara berpendapatan tinggi dengan KDNK perkapita tahun lalu yang diukur dalam nominal dolar Amerika Syarikat (AS) menurun kepada AS$9,944 (RM41,287.49) daripada AS$11,1183 (RM46,431.82) pada 2014.
Zakaria berkata, KDNK tahun ini dijangka sederhana pada 4.7 peratus berbanding unjuran sebelum ini, 5.5 peratus dengan mengambil kira permintaan global yang sederhana dan kebergantungan kepada penggunaan swasta di sebalik kelemahan aktiviti pelaburan.
“Pertumbuhan KDNK yang perlahan juga akan berterusan tahun hadapan antara 4.5 hingga 5.5 peratus. Permintaan domestik akan terus memacu pertumbuhan dan dijangka berkembang 5.5 peratus, lebih perlahan berbanding tahun lalu pada 6.5 peratus disokong oleh pertumbuhan pesat dalam penggunaan swasta,” katanya.
Mengenai pengenalan cukai baharu oleh kerajaan katanya, ia dijangka tidak menjejaskan kumpulan B40 kerana isi rumah sudah cukup terbeban dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebelum ini.
Jelas beliau, cukai terpilih itu, misalnya cukai warisan dan cukai ke atas keuntungan modal (CGT) kebiasaannya tidak dikenakan terhadap golongan berpendapatan rendah.










