Kastam berjaya patahkan satu sindiket memproses arak tiruan - Utusan Malaysia

Kastam berjaya patahkan satu sindiket memproses arak tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 3 Okt. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan satu sindiket pemprosesan arak tiruan pelbagai jenis dalam serbuan ke atas sebuah premis kilang di Cheras, Kuala Lumpur, 28 September lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, hasil serbuan itu mendapati premis tersebut dijadikan sebagai tempat memproses arak tiruan pelbagai jenama seperti Mandalay, Club 99, Grand Royal dan lain-lain.

“Dalam serbuan itu, JKDM juga telah menahan seorang lelaki tempatan berumur 60 tahun yang terlibat dalam sundiket memproses minuman keras tiruan ini.

“Kes ini sedang disiasat di bawah tiga akta iaitu Akta Eksais 1976, Akta Kastam 1976 dan Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, dalam Operasi Gempur yang dijalankan pihaknya sejak 21 September lalu di seluruh negara, sebanyak 1,063 serbuan ke atas premis telah dibuat.

Katanya, dalam operasi tersebut sebanyak 17,374 liter minuman keras pelbagai jenis telah dirampas.

Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan ekoran berlakunya kes keracunan arak yang telah meragut banyak nyawa di sekitar Lembah Klang, bulan lalu. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN