PUTRAJAYA – Orang ramai berpeluang untuk mendapatkan pelbagai tawaran harga istimewa untuk melancong di pelbagai lokasi terpilih di dalam negara sempena penganjuran Karnival Tourism Malaysia bermula pada 25 Oktober ini.
Menurut Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia, karnival selama dua hari itu akan diadakan di Bangunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di sini bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang.
“Karnival ini yang bertemakan “It’s All Here” mendapat penyertaan daripada 29 organisasi yang merangkumi hotel, taman tema dan agensi pelancongan.
“Agensi terbabit akan membuat jualan pakej mereka dalam kadar harga yang istimewa kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, program tersebut diadakan bertujuan menggalakkan orang ramai melancong di dalam negara sempena cuti persekolahan yang bermula pada November ini.
Tambahnya, antara organisasi yang terlibat dalam karnival tersebut ialah Kidzania Kuala Lumpur, The Habitat Penang Hill, Sunway Lagoon, The Harbour Resort, Taman Tema dan Resort Sentoria (Bukit Gambang), Taman Aktiviti Angry Bird Johor Bahru, Bukit Merah Laketown Resort dan lain-lain.
Selain itu, katanya, sepanjang program tersebut berlangsung pengunjung juga berpeluang mendapatkan pemeriksaan saringan kesihatan secara percuma dan jualan makanan oleh Persatuan Food Truck. – K! ONLINE










