JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 bulan disahkan meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria di daerah ini, dua hari lepas.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, kanak-kanak itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi difteria kerana keluarganya enggan menerima imunisasi.
“Kanak-kanak tersebut mula mengalami demam dan sakit tekak pada 4 Oktober lalu dan telah dibawa oleh ibunya mendapatkan rawatan awal di klinik swasta pada 11 Oktober.
“Keesokan harinya, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke unit kecemasan hospital kerana sesak nafas dan hilang selera makan. Pesakit dimasukkan ke wad kanak-kanak dan seterusnya dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik pada 13 Oktober kerana keadaan semakin lemah dan memerlukan bantuan pernafasan,” kata kementerian itu.
Menurut KKM, kanak-kanak tersebut meninggal dunia pada 15 Oktober akibat mengalami difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan. – Bernama










