Kami tidak tahu mereka ada masalah - keluarga - Utusan Malaysia

Kami tidak tahu mereka ada masalah – keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 19 Okt. – Setiap kali menziarahi keluarga di Perlis, mereka tidak pernah menceritakan mengenai masalah yang dihadapi dan sentiasa kelihatan tenang.

NORHAN ABDULLAH
NORHAN ABDULLAH 

Perkara itu diceritakan oleh Norhan Abdullah, 54, anak saudara kepada Norma Pin, 64, salah seorang daripada tiga beranak yang ditemukan mati lemas di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat di sini, semalam.

Dalam masa sama, dia terkejut apabila mendapat tahu bahawa kejadian tersebut adalah berpunca daripada membunuh diri disebabkan tekanan perasaan akibat masalah hutang yang dihadapi keluarga tersebut sebelum ini.

“Kami tidak tahu mereka mempunyai masalah hutang, malah keluarga itu juga tidak pernah menceritakan mengenai masalah mereka setiap kali berkunjung ke rumah saudara-mara di Perlis.

“Jika benar mereka meminum racun dan cuba membunuh diri, ia sesuatu yang mengejutkan. Apa-apa pun kami reda dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Misteri kes mati lemas membabitkan tiga sekeluarga itu berjaya dirungkai dengan penahanan seorang lelaki yang merupakan ahli keluarga kepada ketiga-tiga mangsa di Sungai Petani, Kedah, semalam, yang sebelum itu dikatakan turut mati lemas.

Berdasarkan hasil rakaman percakapan terhadap lelaki berusia 37 tahun itu, dia dikatakan cuba membunuh diri bersama ahli-ahli keluarganya tersebut.

Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. dilaporkan berkata, kesemua mereka meminum racun sebelum terjun ke dalam sungai di kawasan kejadian, pada pukul 2.45 pagi.

Walau bagaimanapun kata Noor Mushar, lelaki berkenaan membatalkan hasratnya dan berenang semula ke tebing sebelum ke Sungai Petani, lokasi dia diberkas polis kira-kira pukul 10 malam.

Hari ini, akhbar melaporkan tiga mayat sekeluarga dipercayai mati lemas ditemukan di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat.

Mayat pertama, Norzalina Baharom, 35, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung di Sungai Arau, Kampung Belat Batu di sini, kira-kira pukul 9 pagi.

Tidak lama selepas itu, mayat kedua iaitu Norma ditemukan oleh orang awam di Sungai Tambun Tulang di sini iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mangsa pertama.

Tiga jam kemudian iaitu kira-kira pukul 12 tengah hari, mayat suami kepada Norma, Baharom Ahmad, 66, pula ditemukan di pintu tali air B, Sungai Tambun Tulang berhampiran Kampung Che Ok, Simpang Empat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN