Perkongsian anak sulungnya dalam laman sosial baru-baru ini mendapat perhatian khalayak. Masakan tidak, gambar yang menunjukkan Amelina kini dalam fasa bahagia dengan seorang lelaki mula menjadi tanda tanya peminat.
Malah pada mulanya, ada yang menyangka bahawa lelaki yang ‘muncul’ dalam gambar yang dikongsi itu adalah bekas suaminya.
Menjelaskan keadaan sebenar, Amelina atau Norazlina Amir Sharipuddin, 44, membuka rahsia yang dia sedang mengenali seorang lelaki yang masih mahu dirahsiakan identitinya.
“Tidak mahu cakap lebih-lebih… apapun kami hanya berkawan sahaja,” katanya yang tidak menyangka perkongsian gambar itu menjadi tular.
“Itulah, anak saya juga terkejut bila tiba-tiba sahaja perkara ini menjadi tular. Dia sendiri tidak sangka. Tapi yang pasti (gambar lelaki tersebut) bukan bekas suami (saya) tetapi orang lain,” tambah Amelina.
Mengakui tidak banyak yang boleh dikongsi mengenai hubungan yang baru sahaja bermula itu, sebagai ibu tunggal, kata Amelina, masih terlalu awal buatnya untuk menyatakan perasaan, namun mengakui, dia terbuka hati untuk rapat dengan lelaki tersebut kerana penerimaan anak-anaknya.
Malah lebih melegakan melihat ‘kawan istimewanya’ itu juga mendahulukan keperluan buah hatinya seramai enam orang itu terlebih dahulu.
“Dalam hal seperti ini saya sebagai ibu hanya mahu memastikan anak-anak saya diutamakan. Dalam erti kata lain, dia juga perlu faham dengan rentak kami anak beranak.
“Sebab saya dan anak-anak memang rapat. Kalau dia boleh terima hal itu, lebih mudah. Memang buat masa ini nampak kesungguhan itu. Tetapi apapun kami sedang saling mengenali,” jelasnya.
Terus seksi?
Berbeza pada awal penampilannya beberapa tahun lalu, harus diakui Amelina kini nampak lebih cantik dan berseri. Menafikan fasa bahagia menjadikan dia lebih berketerampilan, kongsinya, buat masa ini kerjaya sebagai penyanyi memerlukan dia lebih bersedia.
“Saya kini bawah pengurusan MindOrder Management, jadi ini antara perkara yang diberi tumpuan kerana sebagai penyanyi, saya rasa menjaga penampilan diri adalah antara perkara asas,” katanya yang turut mengamalkan diet.
Mengenai pilihan berpakaian, Amelina tidak mahu menjadi hipokrit.
Katanya, sebagai penyanyi dia sendiri perlu akur dengan kehendak fesyen terkini, namun tetap mempunyai batas-batasnya.
“Saya hanya mahu menjadi diri sendiri, soalnya apa yang dipakai juga tidaklah melampaui batas. Kita juga tahu apa yang sesuai atau tidak dan paling penting yang selesa,” katanya.
Tentang kemunculan dalam program realiti, Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Amelina akui, dia gementar berhadapan teguran juri, namun pembabitannya itu demi kelangsungan karier.
“Ini adalah pilihan yang tepat. Saya sudah bersedia dengan kritikan dan cabaran,” katanya yang kini yakin dengan penyertaannya selepas pernah menolak untuk menjadi peserta kerana belum bersedia.
Mahu bersanding
Tiada yang mahu disembunyikan, Amelina dengan jujur memberitahu, jika berpeluang dia mahu merasai pengalaman bersanding sekiranya ada jodohnya kelak.
“Saya faham kedudukan saya, siapalah kita nak bersanding, tetapi itu antara impian saya kalau ada peluang untuk kembali mendirikan rumah tangga. Anak-anak pun tidak ada masalah jika saya bertemu jodoh,” katanya.
Berbicara mengenai pilihan hati, Amelina tidak berharap seseorang yang luar biasa, namun jika benar berjodohan, kali ini biarlah seseorang itu dapat menemani hari tuanya.
“Pada satu peringkat, memang saya reda seandainya saya memang ditakdirkan tidak bertemu dengan sesiapa.
“Sebab saya yakin anugerah paling hebat adalah anak-anak saya.
“Namun jika benar ada jodoh, tiada yang saya mahu selain seorang lelaki yang akan bersama-sama sehingga ke akhir hayat,” katanya yang juga ibu kepada Puteri Nur’ Athirah, 17; Putera Al’ Affiq, 16; Putera Al’ Asyraff, 15; Puteri Nur’ Asyurah, 13; Putera Al’ Arffa, 11; dan Putera Al’ Amzar, 8.










