Kajian mendalam sebelum pinda hukuman gantung sampai mati - Utusan Malaysia

Kajian mendalam sebelum pinda hukuman gantung sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 13 Okt. – Hasrat kerajaan untuk memansuhkan hukuman gantung sampai mati wajar disokong tetapi perlu melalui proses kajian mendalam sebelum ia dipinda.

Bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, langkah itu harus diberi sokongan selari dengan peredaran zaman yang mana kebanyakan negara bertamadun sudah memikirkan bahawa tugas mengambil nyawa bukan kerja manusia.

Sehubungan itu katanya, undang-undang manusia seharusnya setakat hukuman penjara seumur hidup dan tidak lagi melibatkan hukuman mati atau pengambilan nyawa demi nyawa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun jangan dipinda dahulu kecuali dengan kajian mendalam termasuk melibatkan pakar-pakar berkaitan penjara, psikologi, pendidikan, penguatkuasaan dan wakil-wakil daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk memikirkan format terbaik,” katanya.

Beliau yang merupakan pakar Perlembagaan negara dan undang-undang ditemui pemberita selepas Majlis Ngeteh Budi di Gelanggang Seni Warisan, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan berhasrat memansuhkan hukuman gantung sampai mati dan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kertas kerja mengenainya kini dalam fasa akhir malah Jabatan Peguam Negara telah memaklumkan pemansuhan itu bakal dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat bermula 15 Oktober ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini