KUALA LUMPUR 18 Okt. – Kajian kebolehlaksanaan perlu dilakukan terlebih dahulu terhadap cadangan kerajaan negeri Johor untuk meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok, yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebelum bersara pada 2003.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, keputusan sama ada projek itu mahu diteruskan atau tidak bergantung kepada hasil kajian tersebut.
“Saya fikir setiap projek kita mesti buat kajian kebolehlaksanaan dan kemudian kita akan meneruskan daripada kajian itu.
“Sekarang saya fikir kerajaan cuma tunggu untuk memutuskan dan disyorkan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Selasa lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mendedahkan Perdana Menteri bersetuju untuk meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok.
Walau bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam berkata, keadaan ekonomi semasa dilihat tidak sesuai kepada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan semula projek ‘jambatan bengkok’ di antara Johor Bahru dan Singapura. – UTUSAN ONLINE










