PADA awal pembukaan Pak Jen Gulai Panas Langkawi sekitar bulan Disember tahun lepas, nawaitu pengasas Restoran Pak Jen Gulai Panas Langkawi adalah untuk menyediakan sajian makanan Melayu Utara yang enak lagi lazat pada harga mampu bayar oleh pelanggan.
Sejak pembukaan Pak Jen Gulai Panas Langkawi, ribuan pelanggan telah singgah ke restoran ini untuk merasai sendiri keenakan masakan gulai panas ikan bawal, daging dendeng, itek golek dan daging wagyu masak lemak. Sasaran Pak Jen seterusnya: Menjamu makan kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Baru-baru ini, Pak Jen tampil membuat projek amal dan kebajikan dengan melancarkan Program Jom Makan. Dengan konsep “pay it forward”, para pelanggan Pak Jen akan digalakkan untuk membayar untuk hidangan seterusnya atau membuat sumbangan kecil.
Semua kutipan Program Jom Makan akan disalurkan kepada badan bukan berkeuntungan (NPO) dan badan bukan kerajaan (NGO) pilihan Pak Jen yang akan menikmati makanan di Pak Jen setiap akhir bulan. Bagaimanapun, sekiranya kutipan itu tidak mencukupi, pihak Pak Jen sendiri akan menampung kekurangannya.
“Sewaktu kami memulakan operasi, hasrat kami adalah untuk menyajikan makanan tradisional yang popular dari Utara tanah air di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.
“Sajian yang dihidangkan kepada pelanggan bukan sahaja rasanya mesti sedap, tetapi pada harga mampu bayar, tidak membebankan dan pelanggan mudah untuk datang ke lokasi operasi restoran,” kata salah seorang pengasas Pak Jen Gulai Panas Langkawi, Tan Jen.
Pelanggan yang makan di Pak Jen Gulai Panas Langkawi boleh menikmati hidangan dengan berbelanja kurang dari RM10. Namun begitu, kata Tan, dia sedar wujudnya golongan yang kurang berkemampuan dalam kalangan masyarakat yang tidak mampu untuk makan di restoran Pak Jen Gulai Panas Langkawi.
“Justeru, sejajar dengan misi kami iaitu memberi makan, kami lancarkan Program Jom Makan supaya golongan yang kurang berkemampuan dapat menikmati makanan yang enak dan lazat yang disediakan di Pak Jen,” kata Tan Jen bersungguh-sungguh.
Sebagai permulaan Program CSR Jom Makan, 50 orang kanak-kanak termasuk kakitangan dan sukarelawan dari Yayasan Chow Kit dipilih menjadi golongan pertama yang akan diraikan.
Selain daripada menjamu selera, mereka juga akan diajar cara-cara untuk menyediakan lempeng dan membancuh minuman istimewa Pak Jen, Cenang Ais.
Ada aktiviti serta program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR), amal bakti atau kemasyarakatan yang perlukan siaran.
Hantar berita dan kenyataan akhbar berserta gambar kepada Diari Komuniti menerusi e-mel [email protected].
Berita dan kenyataan akhbar dalam bahasa Malaysia akan diberikan keutamaan.











