JOHOR BAHRU 17 Okt. – Pelaksanaan pemakaian kasut sekolah bewarna hitam berkuat kuasa sepenuhnya pada 2021 adalah satu langkah yang berasas, tepat dan perlu disokong.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, tambahan pula arahan tersebut tidak berkuat kuasa serta-merta.
“Mengambil maklum kegelisahan ibu bapa mahupun pihak yang menyediakan bekalan kasut, jika kementerian mewajibkan pemakaian kasut hitam serta-merta, maka tempoh yang ada sekarang sehingga akhir 2020 adalah satu tempoh yang signifikan untuk ibu bapa beralih daripada memakai kasut putih kepada kasut hitam sebelum pemakaian kasut warna hitam diwajibkan sepenuhnya pada 2021.
“Kita tidak dapat menafikan dengan memakai kasut hitam ini akan menjadikan pakaian pelajar kelihatan kemas dan lebih menjimatkan wang kerana tidak perlu lagi berbelanja membeli kapur kasut untuk membersihkannya atau terpaksa membeli kasut sekolah berwarna putih setiap tahun jika sudah kotor atau lusuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan baru-baru ini memaklumkan pemakaian kasut sekolah berwarna hitam di semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan hanya akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 2021.
Menurut kementerian tersebut, peraturan itu bagaimanapun akan dilaksanakan secara beransur-ansur bermula sesi persekolahan 2019 sebelum diperluas penggunaannya pada 2020.
Aminolhuda berkata, pe-nguatkuasaan itu juga dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa serta penjaga terhadap pembelian kasut anak-anak mereka setiap tahun.










