ALOR SETAR 12 Okt. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul menolak dakwaan desas-desus bahawa beliau bakal mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada penyandangnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, sukar baginya mempercayai khabar angin yang tersebar kerana beliau turut beberapa kali dikaitkan dengan jawatan lain antaranya Menteri Pertahanan dan Menteri Pelancongan.
Katanya, setakat ini beliau belum menerima sebarang makluman daripada kepimpinan tertinggi PKR kerana perkara mengenainya tidak dibincangkan di peringkat parti.
“Saya tidak minat bertanya lebih lanjut sebab ia bukan di bawah urusan saya, tetapi sekiranya diberi pilihan antara jawatan di Kabinet atau Menteri Besar, saya pilih Menteri Besar.
“Saya tidak merasa kecewa meskipun tidak terpilih sebagai Menteri Besar kerana saya sudah alami banyak kali kalah menang, naik turun sepanjang 20 tahun penglibatan dalam dunia politik,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tular dalam media sosial sejak semalam mengatakan bahawa Johari bakal dilantik menerajui pentadbiran negeri sebagai Menteri Besar manakala Mukhriz akan berpindah ke Persekutuan bagi menggantikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas faktor kesihatan.
Bagaimanapun dalam pada itu, Johari mengakui beliau hadir semasa pertemuan dengan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman Sabtu lalu bagi membincangkan hal-hal berkaitan pembangunan negeri.
“Ya, saya menghadap baginda Sultan Kedah namun untuk berbincang mengenai pembangunan dan pentadbiran. Soal jawatan Menteri Besar ini jika ada rezeki, adalah,” katanya.










