PASIR PUTEH 24 Okt. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 55 juta batang rokok seludup di negeri ini dan Terengganu sepanjang tahun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Zulkifli Yahya berkata, rampasan tersebut melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM1.074 juta dengan negeri ini menjadi penyumbang terbesar iaitu RM1 juta.
Beliau berkata, dalam pada itu, sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, pihaknya berjaya mengutip bayaran denda sebanyak RM219,300 dari 121 kes seludup rokok di Terengganu dan sebanyak RM578, 600 di negeri ini melibatkan 154 kes.
“Daripada jumlah rampasan tersebut, sebanyak 45.5 juta batang rokok dirampas di negeri ini manakala selebihnya di Terengganu.
“Rampasan ini dibuat menerusi pelbagai operasi mengekang penyeludupan hasil tembakau tanpa cukai sepanjang tahun lepas, dan kini, kita meningkatkan penguatkuasaan bagi menghalang penyeludupan melalui jalan laut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Tekad Bersepadu JKDM Kelantan dan Terengganu di Tok Aman Bali Beach Resort, dekat sini, semalam.
Yang turut hadir Pengarah Kastam negeri, Datuk Mohd. Nasir.
Dalam majlis tersebut, JKDM negeri ini turut menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) dan Majlis Daerah Besut (MDB) untuk meningkatkan kerjasama.
Sementara itu, Zulkifli berkata, Op Tekad bersepadu yang akan berakhir Jumaat ini turut mengenalpasti sebanyak 675 premis yang disyaki terbabit sama ada menjual dan menyimpan rokok tanpa cukai untuk diperiksa.
“Di antara premis yang akan dijalankan pemeriksaan termasuk di pusat peraginan Pulai Perhentian, Besut, yang disyaki sebagai pembekal utama rokok seludup mengunakan bot-bot nelayan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Nasir ketika berucap pada majlis itu berkata, penyeludupan rokok tanpa cukai menerusi jalan laut dijangka terus meningkat berkali ganda berikutan kenaikan cukai baru terhadap produk tembakau.
Menurutnya, jajahan Pasir Mas dikenal pasti berisiko tinggi kerana lokasinya yang bersempadan dengan Thailand manakala Besut pula terletak berhampiran Pulai Perhentian yang disyaki sebagai transit untuk diedarkan ke seluruh daerah berkenaan.











