KUALA LUMPUR 18 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jika Barisan Nasional (BN) mengeluarkan kenyataan meminta rakyat terus bermimpi menghapuskan tol, sudah pasti pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan mengeluarkan sekurang-kurangnya 10 kenyataan akhbar menghentam BN.
Malah Najib turut pasti, beliau turut akan dikritik dengan menggunakan perkataan kleptokrasi berpuluh kali.
“Adalah tidak patut untuk Menteri Kerja Raya menyatakan di Parlimen pagi ini bahawa rakyat boleh bermimpi jika mereka mahu kerana kerajaan PH tidak akan menghapuskan tol atau membina lebuhraya tanpa tol.
“Jika seorang menteri BN dari kerajaan dahulu berkata seumpama iaitu rakyat boleh terus mimpi, kemungkinan besar Kit Siang sudah keluarkan sekurang-kurangnya 10 kenyataan akhbar untuk menghentam BN dan kemudiannya tak pasal-pasal melibatkan saya dan menggunakan perkataan kleptokrasi berpuluh kali,” kata Najib.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian hari ini menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai manifesto Pakatan Harapan (PH) yang mahu menghapuskan tol dan adakah rakyat sekadar bermimpi untuk tinggal di negara tanpa tol.
“Mengenai soalan sama ada rakyat Malaysia bermimpi (hidup tanpa tol), itu terpulang kepada rakyat tetapi sekali lagi saya jelaskan dasar kerajaan ialah tidak menghapuskan tol sehingga keadaan kewangan negara sihat,” kata Baru di Dewan Rakyat.
Najib berkata, jika kerajaan tidak mampu menunaikan janji manifesto untuk menghapuskan tol sekurang-kurangnya kerajaan boleh mengurangkan kadar tol.
“Ketika saya Perdana Menteri, saya berjaya menghapuskan beberapa tol semasa kita berupaya, membantu Sarawak menghapuskan semua tol pada 2016.
“Menghalang sebarang kenaikan tol di lebuhraya dimiliki PLUS dan membina lebuhraya baru bebas tol seperti Central Spine Road (CSR) dan Lebuhraya Pan-Borneo. Mengapa PH tidak dapat melakukan sedemikian? Tanya Najib.-UTUSAN ONLINE










