KUALA LUMPUR 19 Okt. – Segmen hiburan yang bersiaraya secara live di Facebook Utusan Online, Busking Bersama Buskers pada petang ini menampilkan Jer’s Band untuk menghiburkan para pelayar Utusan Online dan penonton Busking Bersama Buskers.
Dianggotai oleh Fandy (vokalis dan pengurus), Jer’s Band turut menampilkan Rizal (girar), Heiri (bass), Zack (percussion), Ann (keyboard) dan Yujie yang juga bertindak sebagai vokalis secara berganti-ganti dengan Fandy.
Khas untuk segmen Busking Bersama Buskers yang dihoskan oleh Apak pada petang Jumaat ini, Jer’s Band menggunakan pendekatan busking untuk membuat persembahan mereka di Panggung Utusan, Jalan Chan Sow Lin.
“Kita tahu bahawa segmen Busking Bersama Buskers ini adalah dua minggu sekali, hari Jumaat dan konsepnya adalah busking.
“Jadi, sambil kita berhibur dengan lebih kurang 10 buah lagu pada petang ini, dapatlah juga kami memperkenalkan Jer’s Band yang telah ditubuhkan sejak tahun 2007 atas dasar suka-suka sahaja untuk jamming di studio,” kata Fandy.
Menurut Fandy lagi, Jer’s Band pernah mengadakan persembahan di sekitar kafe dan restoran di kawasan Lembah Klang kerana jiwa Jer’s Band adalah untuk menghiburkan orang ramai.
“Kadang-kadang Jer’s Band diundang bermain secara full time dengan program swasta dan agensi kerajaan. Kami juga pernah diundang sebagai pemuzik pengiring kepada beberapa artis tanah air.
“Jer’s Band pernah mengiringi persembahan Datuk Nash Lefthanded, Aiman Tino, Ara Johari, Maya Matahari, Yabang Khalifah dan ramai lagi,” kata Fandy sekadar berkongsi pengalaman Jer’s Band. – UTUSAN ONLINE










