KUALA LUMPUR – Jenazah Allahyarham Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd, Nazrin Hassan yang digali semula semalam untuk bedah siasat kali kedua dijangka akan dikebumikan pada Jumaat ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pengebumian kembali jenazah Nazrin dilakukan selepas proses bedah siasat selesai.
“Proses bedah siasat yang dilakukan semalam bermula di antara pukul 4 petang sehingga 6 petang.
“Jenazah Nazrin pula dijangka akan dikebumikan pada hari Jumaat ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pemantapan Integriti dan pelancaran Jurnal Integriti PDRM 2018 di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (Pulapol).
Turut hadir, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Zamri Yahya serta Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.
Kosmo! semalam melaporkan proses penggalian kembali kubur jenazah Nazrin di Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara memakan kira-kira lima jam.
Kubur jenazah Nazrin digali kembali adalah atas permohonan pegawai penyiasat kes tersebut.
Susulan daripada itu, Mahkamah telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula bagi tujuan bedah siasat kali kedua. – K! ONLINE











