JBPM Kedah sedia hadapi gelombang kedua banjir - Utusan Malaysia

JBPM Kedah sedia hadapi gelombang kedua banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir ekoran air pasang besar yang dijangka berlaku pada 26 dan 27 Oktober ini.

Pemangku Pengarah JBPM Kedah, Mohd. Zahar Abdullah berkata, pihaknya mempunyai kekuatan hampir 1,000 anggota bomba tetap dan bantuan untuk dikerah membantu mangsa yang terjejas.

Katanya, selain itu, sebanyak 40 buah bot dan lori juga siap diuji dan berada dalam keadaan baik untuk digunakan apabila keadaan memerlukan.

“Berdasarkan maklumat dari Jabatan Meteorologi Malaysia, Kedah akan mengalami turunan hujan yang kerap ekoran peralihan angin monsun timur laut sebelum disusuli dengan air pasang besar pada 26 dan 27 Oktober ini.

“Situasi itu boleh meningkatkan paras air laut sehingga tiga meter berbanding 2.3 meter paras normal dan menenggelamkan kawasan rendah terutama yang dekat dengan kawasan muara Kota Kuala Kuala Muda, Kuala Kedah, Yan dan Langkawi,” katanya kepada pemberita pada sesi pemilihan anggota Pasukan Bomba Bantuan (PBB) di sini, hari ini.

Kedah dilanda banjir kilat pada 8 Oktober lalu di empat daerah membabitkan Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang dan Baling yang menyaksikan lebih 600 mangsa ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS).

Dalam pada itu, orang ramai juga diminta akur dengan arahan berpindah ke PPS banjir jika diminta berbuat demikian bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN