KUALA LUMPUR 7 Okt. – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dengan penuh berhati-hati dan cermat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun, Pengarahnya, Mohd. Ajib Ismail berkata, sekiranya terdapat apa-apa kelompongan maka SOP ini akan dinilai dan disemak semula dari masa ke semasa bagi memastikan keberkesanannya dan boleh ditambah baik sekiranya perlu.
“Jawi bersifat terbuka untuk menerima sebarang idea, pandangan, cadangan dan teguran daripada mana-mana pihak bagi membantu proses penambahbaikkan dalam pelaksanaan.
“Buat masa ini aspek pencegahan mendapat perhatian khusus oleh Jawi dan ia bertujuan untuk memberi maklumat kepada orang Islam supaya tidak melakukan kesalahan yang dilarang dalam undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, kata beliau, dalam membicarakan ruang lingkup penguatkuasaan jenayah syariah, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof dipercayai telah disalah tafsirkan oleh beberapa akhbar tempatan. – UTUSAN ONLINE









