Jangan takut tampil ke depan jika terlanjur - TPM - Utusan Malaysia

Jangan takut tampil ke depan jika terlanjur – TPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Remaja terlanjur sehingga mengandung, tidak perlu takut untuk tampil ke depan bagi mencari jalan menyelesaikan masalah bersama-sama dengan pihak berkuasa dan masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, setiap manusia melakukan kesilapan dan perlu mencari jalan keluar apabila ditimpa masalah.

“Carilah pertolongan. Ia bukan jalan buntu. Kita semua ada melakukan kesilapan dalam hidup. Tampillah ke depan. Ada orang yang sudi menolong.

“‘Malah kita ada kaunselor di sekolah untuk sesi kaunseling untuk mana-mana remaja yang menghadapi masalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Fiqh dan Muzakarah keempat di Institut Sosial Malaysia hari ini.

Wan Azizah diminta mengulas mengenai kes seorang remaja perempuan yang dilaporkan meninggal dunia ketika melahirkan bayi lelaki dalam tandas di rumahnya di Taman Kerian Permai, Parit Buntar, Perak, pada Ahad.

Mangsa yang berkurung dalam bilik air sejak 8.30 pagi ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya kira-kira 2 petang selepas memecahkan pintu tandas.

Remaja terbabit dan bayi itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata kementerian telah meminta maklumat lanjut daripada pihak polis bagi membantu keluarga mangsa.

“Ini kes polis. Saya telah meminta lebih banyak maklumat. Satu tragedi yang kita mesti tahu apa punca. Saya sedih perkara seperti ini masih berlaku. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN