Jangan malu bawa anak jalani saringan kesihatan mental - Utusan Malaysia

Jangan malu bawa anak jalani saringan kesihatan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Ibu bapa tidak patut malu membawa anak mereka menjalani ujian saringan kesihatan mental di klinik dan hospital demi mengelak keadaan lebih buruk seperti kes bunuh diri pada masa hadapan.

Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Asrenee Ab. Razak berkata, perubahan tingkah laku pada anak-anak adalah sebahagian tanda gangguan kesihatan mental dan ibu bapa seharusnya tidak boleh mengambil ringan.

Beliau berkata, pihaknya pernah merawat kanak-kanak seawal usia enam tahun yang mengalami gangguan emosi yang boleh membawa kepada kemurungan jika tidak dirawat lebih awal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kanak-kanak dan remaja bukan seperti golongan dewasa yang boleh berkongsi dan menceritakan masalah mereka.

“Kita sebagai ibu bapa yang perlu peka apabila mereka tiba-tiba mengamuk, ponteng sekolah tanpa diketahui sebab, tidak mengendahkan orang di sekeliling atau berhenti melakukan perkara yang menjadi kegemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Kesihatan Mental sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian (3), di sini hari ini.

Program bertemakan ‘Bebaskan Generasi Kita Daripada Ketagihan Gajet’ itu telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Akademik) PPSP Kampus Kesihatan USM, Prof. Madya Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin.

Sementara itu, Asrenee berkata, antara punca yang menyebabkan gangguan kesihatan mental anak-anak adalah kejadian buli dan penderaan seks, justeru itu peranan kaunselor di sekolah juga amat penting.

“Rawatan tidak semestinya bergantung kepada pengambilan ubat sebaliknya kita lebih banyak melakukan terapi bercakap, terapi bermain dan terapi kesenian.

“Kebanyakan ibu bapa mahu rawatan cepat dan mereka sendiri yang meminta ubat diberikan kepada anak-anak sedangkan apa yang penting adalah kita mengetahui punca masalah untuk diatasi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini