SEREMBAN – Majikan di Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak menghalang pekerja beragama Islam menunaikan solat Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri J. Arul Kumar berkata perbuatan menghalang pekerja beragama Islam menunaikan solat Jumaat jelas menafikan hak pekerja berkenaan.
“Berikan pekerja kelonggaran dan jadual waktu untuk solat Jumaat. Majikan boleh menyusun atur waktu bekerja bagi membolehkan pekerja beragama Islam untuk menunaikan solat Jumaat dan selesai solat boleh balik bekerja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan (JTKNS), S. Tharu Marajan.
Mengenai isu majikan potong gaji pekerja dari Bangladesh kerana solat Jumaat yang tular di Facebook Isnin lepas, beliau berkata JTKNS telah menjalankan siasatan ke atas majikan terbabit pada Selasa lepas serta telah menemuduga tiga pekerja Bangladesh yang terpapar dalam ‘posting’ tersebut.
“Siasatan mendapati pekerja asing ini diberi tiga jam rehat untuk solat pada hari Jumaat dan tiada sebarang potongan atau pun pengurangan gaji untuk waktu tersebut. Waktu kerja biasa pada hari Jumaat dianjak hingga 6.30 petang bagi menggantikan dua jam rehat tambahan yang diberikan kepada mereka untuk solat. Dalam perkara ini tiada isu apa pun dan majikan mematuhi Seksyen 60A Akta Kerja 1955, cuma salah tafsir,” jelas beliau. – Bernama











