GUA MUSANG – Jambatan besi Kampung Kerinting merentasi Sungai Ketil menghubungkan Bandar Lama, di sini tenggelam lagi selepas berlaku hujan lebat.
Jambatan tersebut ditutup kepada semua jenis kenderaan sejak pukul 5.30 petang ini apabila air sungai melimpahinya.
Seorang penduduk Kampung Mohamad Ismail, 56, berkata, hujan lebat sejak pukul 3.15 petang tadi menyebabkan air sungai naik melimpahi jambatan itu.
“Jambatan itu mudah tenggelam apabila hujan lebat berterusan lebih tiga jam. Ini merupakan kejadian kali kedua jambatan tenggelam dalam tempoh dua minggu ini.
“Kejadian terbaru berlaku pada pagi 28 September lalu. Kita menjangkakan jambatan ini akan tenggelam berpuluh kali lagi apabila jambatan itu kerap tenggelam pada musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd. Yusoff Abdullah, 43, pula berkata, penduduk perlu menggunakan jalan alternatif lain untuk ke bandar Gua Musang.
Katanya, mereka sudah biasa berdepan dengan kenaikan air sungai yang menyebabkan jambatan tenggelam kerana kedudukannya yang rendah. – K! ONLINE









