Jalinan kerjasama dengan negara luar untuk taja mahasiswa - Utusan Malaysia

Jalinan kerjasama dengan negara luar untuk taja mahasiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Kementerian Pendidikan mengadakan kerjasama dengan beberapa negara dalam usaha menaja pelajar cemerlang melanjutkan pengajian dalam bidang tertentu di luar negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini

Timbalan Menteri berkenaan, Teo Nie Ching berkata, usaha itu dilakukan berikutan kekangan kewangan semasa negara untuk menaja mahasiswa melanjutkan pengajian.

Katanya, selain bergantung kepada peruntukan RM250 juta untuk penajaan biasiswa pelajar dari peringkat sijil ke Ijazah Doktor Falsafah (PhD), kementerian mencari kaedah dengan menjalin kerjasama berkenaan bagi membantu pelajar cemerlang.

“Dalam lawatan kerja menteri (Dr Maszlee Malik) ke China, kita telah mendapat persetujuan tajaan daripada beberapa syarikat di negara itu untuk pelajar kita mengikuti latihan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di sana.

“Kita juga mendapat tajaan dari United Kingdom, Turki dan Jepun semasa lawatan kerja di sana. Saya juga ada bertemu dengan wakil kerajaan Ukraine dan mereka turut berhasrat memberi tajaan kepada pelajar negara kita untuk belajar di sana dalam bidang aeroangkasa dan maritim,” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab soalan tambahan Sabri Azit (Pas-Jerai) yang ingin tahu langkah diambil kerajaan dalam membantu mahasiswa mendapatkan penajaan selepas program MyBrain dihentikan tahun ini.

Nie Ching percaya dengan kedudukan ekonomi negara yang lebih baik, kerajaan mampu meningkatkan penajaan kepada mahasiswa. – BERNAMA


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN