KUALA LUMPUR 19 Okt. – Isu warna stoking mempunyai kaitan dengan ketetapan Kementerian Pendidikan yang akan menguatkuasakan pemakaian kasut hitam sepenuhnya bermula 2021.
Sehubungan itu, walaupun perkara ini dianggap remeh oleh netizen namun ia memberi impak yang cukup besar kepada peniaga barangan persekolahan.
Naib Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, setiap penjualan barangan tersebut melibatkan pembelian serta penyimpanan stok.
“Sebagai wakil peniaga, bayangkan kalau keputusan untuk menukar stoking hitam itu tiba-tiba dibuat pada tahun 2021 selepas mewajibkan pemakaian kasut hitam.
“Bukankah menjadi satu masalah apabila peniaga perlu menempah semula dalam jumlah yang banyak untuk pemakaian segera?” soalnya ketika dihubungi Utusan Online.
Ameer berkata demikian mengulas kecaman netizen yang beranggapan isu stoking tidak berfaedah untuk dibincangkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
“Memang tidak berfaedah bagi netizen tetapi amat penting buat kami para peniaga dan ibu bapa yang akan membeli keperluan persekolahan anak-anak mereka nanti.
“Selain isu warna stoking yang akan dibincangkan, kalau mahu tukar dan selaraskan warna baju pengawas, warna baju sekolah agama, sampin dan sebagainya sekali pun, mohon dimaklumkan awal sebagai persediaan untuk kami semua,” katanya. – UTUSAN ONLINE










