KUALA LUMPUR 14 Okt. – “Saya reda Saleem ‘pergi’,” itulah kata-kata balu Allahyarham Saleem, Julia Bachok ketika mengiringi perjalanan terakhir penyanyi yang popular dengan lagu Suci Dalam Debu itu.
Menurut Julia yang lebih mesra dupanggil Kak Ju, Saleem atau nama sebenarnya, A.M. Saleem Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia ketika dalam keadaan koma pada pukul 6.15 pagi tadi.
Julia berkata, Allahyarham Saleem, ketika hari-hari terakhirnya, kelihatan amat ceria dan mesra terutamanya apabila berbual dengan tetamu yang menziarahi beliau sebelum dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) PPUKM.
“Dia sentiasa senyum, malah, menunjukkan isyarat bagus seolah-olah mahu memberitahu kepada semua dirinya dalam keadaan baik.
“Saya terima dan bersabar dengan pemergian Saleem. Cuma saya terkilan dan sedih bila kenangkan punca yang membawa kepada kematiannya,” kata Julia kepada Utusan Online ketika ditemui di Surau As-Syakirin, Bandar Mahkota Cheras dekat sini sebentar tadi.
Allahyarham Saleem sebelum ini terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 21 September lalu.
Kemalangan tersebut mengakibatkan tulang rusuknya patah serta beliau berada dalam keadaan koma.
Terdahulu sekitar pukul 7 pagi, salah seorang anak penyanyi itu, Iera memuat naik status mengenai kematian penyanyi legenda itu.
Jenazah Saleem telah dibawa ke Surau As-Syakirin untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Cheras, Cheras Perdana dekat sini untuk dikebumikan.- UTUSAN ONLINE











