KUALA TERENGGANU 30 Sept. – Kerajaan negeri menjangka penyeragaman etika berpakaian mengikut Islam dalam kalangan atlet di negeri ini dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya yakin usaha itu dapat direalisasikan berdasarkan persediaan awal selain pelaksanaan secara beransur-ansur.
Menurut beliau, kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan sentiasa komited bagi memastikan proses Islamisasi pakaian sukan dalam kalangan atlet di negeri ini dilaksanakan dengan jaya.
Bagi tujuan itu, jelas Wan Sukairi, sebuah jawatankuasa Lembaga Pengurus MSNT dibentuk yang dipengerusikan oleh beliau sendiri selain turut dianggotai Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr. Zulkifly Muda.
“Kita telah melantik Mufti Terengganu bersama beberapa individu lagi sebagai ahli jawatankuasa Lembaga Pengurus MSNT.
“Mereka akan sediakan garis panduan serta dasar-dasar bagi menentukan peraturan sukan termasuk jenis sukan atau pakaian (sukan) yang sesuai mengikut syariat Islam,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam di sini kelmarin.
Wan Sukairi seterusnya memberi jaminan pihaknya akan memastikan pelaksanaan etika pakaian Islam terhadap golongan itu nanti tidak terlalu drastik demi kepentingan mereka.
“Kita tak akan buat secara drastik atau tergesa-gesa tetapi perubahan dibuat secara beransur-ansur supaya atlet kita tidak terkejut,” jelasnya.










