PORT DICKSON – Calon Bebas, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yakin isu lama yang membabitkan dirinya ketika menjadi Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak akan menjejaskan peluangnya untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Parlimen Port Dickson (PD) pada 13 Oktober ini.
Mohd. Isa yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun berkata, pengundi di kawasan itu lebih mengenalinya dan tidak bimbang kerana calon lain yang turut bertanding dalam PRK tersebut juga mempunyai isu mengaitkan diri mereka.
Mohd. Isa pernah direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian sebuah hotel di London, United Kingdom (UK) oleh Felda Investment Corporation (FIC) pada Ogos tahun lalu.
Beliau disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan berhubung pembelian hotel di London di antara tahun 2014 dan 2015.










