Imej negara pada patung lembut - Utusan Malaysia

Imej negara pada patung lembut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMILIH permainan anak-anak haruslah bersesuaian dengan usia mereka supaya tidak berlaku ‘kemalangan’ yang tidak diinginkan.

Bayi dan kanak-kanak kecil tidak sesuai diberikan permainan yang terdiri daripada benda-benda kecil yang mudah dimasukkan ke dalam mulut.

Permainan yang tajam dan boleh mengundang kecederaan juga sepatutnya dielakkan supaya tidak tertikam atau boleh menikam kanak-kanak lain.

Justeru, ibu bapa harus bijak dalam pemilihan barangan permainan untuk anak-anak mereka.

Barangan permainan yang paling selamat ialah patung lembut yang boleh dipeluk oleh kanak-kanak, dijadikan bantal penenang semasa tidur dan dipeluk semasa menangis.

Terlalu banyak patung mainan lembut yang terdapat dijual di kedai, namun sebelum membeli, ibu bapa harus juga memikirkan adakah patung tersebut bermanfaat bagi anak-anak.

Walaupun memiliki profesion yang bagus, Isliana Ismail, 41, dan adiknya, Maslina Ismail, 39, mahu melakukan ‘pekerjaan’ kedua bagi mendapatkan pendapatan sampingan dengan membuat patung mainan lembut yang sangat disukai kanak-kanak.

Menurut Isliana, yang memiliki syarikat latihan dan perunding di Bangsar, dia dan Maslina, seorang jurutera petroleum, suka dengan patung mainan lembut dan selalu membelikan untuk anak masing-masing.

Mereka sangat tertarik dengan patung lembut jenama Noox setelah mendapat oleh-oleh daripada seorang kawan yang baru pulang dari Jakarta.

Daripada patung lembu itu, mereka mendapat inspirasi untuk membuat dan menjualnya pula.

Kata Isliana, patung lembut Noox sebenarnya terdapat di beberapa buah negara di dunia yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Setiap negara membuat patung lembut dengan imej negara sendiri yang dapat dijadikan tarikan kepada pembeli. Warna-warna fabrik yang digunakan juga sangat terang dan memikat hati.

Isliana dan Maslina kemudiannya menubuhkan syarikat Noox mereka sendiri yang dinamakan Noox KL Design For Tiny Grown-Ups pada bulan Ogos 2016.

Tujuan mereka menghasilkan patung lembut ini adalah bagi mencipta, mengeluar dan memasarkan produk kanak-kanak yang bagus untuk berinteraksi. Selain itu, produk ini sangat disukai kanak-kanak dan dewasa.

Produk patung lembut yang dihasilkan diinspirasikan daripada imej-imej yang popular di Malaysia seperti KLCC yang menjadi ikon Malaysia, bas sekolah warna kuning, naik motosikal beramai-ramai, feri Pulau Pinang, buah pisang, nanas dan banyak lagi.

“Kami akan memberi idea kepada pereka, bagi gambar, menerangkan situasi gambar tersebut dan perekalah yang akan membuatnya.

“Bagaimanapun kami akan pastikan imej orang dan warna mesti sama dengan yang dikehendaki Noox dunia, iaitu terang dan ceria.

“Jenis fabrik yang dipilih adalah selamat dan mesra kanak-kanak dan ibu bapa juga yakin akan keselamatan anak mereka.

“Antara produk patung mainan lembut yang kami hasilkan ialah bantal pelbagai bentuk, rantai kunci, bekas pensel, alas baring bayi dan banyak lagi. Ia sesuai menjadi permainan bayi hingga kanak-kanak yang berusia 10 tahun.

“Selain itu patung mainan lembut ini boleh dihadiahkan kepada kawan-kawan, anak-anak mereka atau sebagai hiasan rumah. Setiap produk yang dibeli disertakan dengan kad penceritaan mengenai imej yang diceritakan.

“Sekarang kami telah mempunyai 12 kategori barang. Salah satu daripada barang yang paling laris ialah bekas pensel dengan imej bas sekolah kuning.

“Selepas ini kami bercadang untuk mengeluarkan imej babu roti dan bas mini yang sangat popular. Imej-imej seperti ini dapat mengembalikan kenangan pada masa lalu,” kata Maslina, ibu kepada seorang anak lelaki berumur lima tahun.

Dalam pada itu, Isliana pula berkata, produk patung mainan lembut boleh dibeli di Loka, Nu Sentral pada harga di antara RM8 hingga RM170.

Sebulan sekali mereka akan berniaga di bazar di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kuching dan Johor Bahru. Mereka juga pernah bekerjasama dengan Sukan SEA 2017 dengan menghasilkan patung-patung mainan lembut dengan imej sukan.

Akui mereka lagi, apa yang mereka lakukan ini tidak langsung mengganggu pekerjaan mereka dan rumah tangga malah mereka mendapat sepenuh galakan daripada suami.

Apa yang lebih menyeronokkan kerana pulangan yang diperoleh sangat memberangsangkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN