Iktiraf kebaikan, perbaiki kelemahan - Utusan Malaysia

Iktiraf kebaikan, perbaiki kelemahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMAT Islam diajar supaya menghormati dan mengiktiraf kebaikan atau jasa yang dilakukan oleh para pemimpin terhadap rakyat walaupun mereka gagal memenuhi harapan rakyat di akhir pemerintahan mereka.

Harapan rakyat kepada kerajaan baharu adalah me­ngekalkan setiap kegiatan yang memberi kebaikan kepada rakyat dan memperbaiki setiap kelemahan yang dilakukan kerajaan terdahulu. Tidak dapat dinafikan setiap kerajaan yang memerintah negara mempunyai kelemahan dan kekuatan tertentu.

Sejarah menunjukkan kekuatan sesebuah kerajaan bergantung kepada kecekapan, kejujuran dan kepintaran pemimpin dalam mengendalikan hal ehwal negara dan keprihatinan terhadap permasalahan rakyat. Sikap gemar menunjukkan kehebatan diri dalam menerajui negara perlu dikikis dalam pemikiran dan sanubari umat Islam. Jika kegiatan untuk kemasyarakatan dapat memberi faedah dan kemudahan kepada rakyat yang dilakukan oleh kerajaan dahulu maka itu perlu diteruskan dan pegawai serta kakitangan yang ber­tugas perlu dikekalkan jika prestasi mereka melaksanakan tugas memuaskan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tindakan menukar dan melantik pegawai baharu yang tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran terutama berkaitan hal ehwal kemasyarakatan bukan sahaja boleh melemahkan sistem pentadbiran negara malah boleh me­nimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan baharu dalam kalangan kakitangan yang sudah lama bertugas dalam bidang tersebut.

Sikap nepotisme dan kronisme perlu dihakiskan dalam urusan kepimpinan dan pentadbiran negara. Konsep perjuangan dalam politik perlu didasarkan kepada prinsip perjuangan untuk me­negakkan keadilan dan kesaksamaan bukan batu lonca­tan untuk menjawat jawatan penting atau kepentingan peribadi.

Harapan rakyat kepada kerajaan baharu adalah untuk memperbaiki kelemahan dalam aspek kepimpinan dan pentadbiran yang diterajui kerajaan lama, bukan menafikan kesemua ke­baikan dan sumbangan mereka terhadap rakyat. Sikap ini bukan sahaja boleh menunjukkan ketandusan idea dalam kala­ngan pemimpin yang menerajui negara masa kini malah ia juga mempertontonkan kepada rakyat bahwa sikap fanatik terhadap parti politik masih berakar umbi dalam sanubari sehingga sanggup menafikan kebaikan dan sumbangan yang dilaksanakan oleh kerajaan lama kepada rakyat.

Rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat berpendidikan hasil daripada sistem pelajaran yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak kemerdekaan. Mereka mempunyai keupayaan untuk menilai prestasi dan kecekapan pemimpin dan pentadbir negara secara menyeluruh. Peralihan kuasa yang dilakukan oleh rakyat adalah untuk menghapuskan korupsi, penyalahgunaan kuasa dan kesilapan dalam perancangan ekonomi dan kemajuan negara.

Rakyat mahu melihat sejauh manakah kejayaan kerajaan baharu dapat mengatasi permasalahan yang dilakukan oleh kerajaan lama dan memulihkan ekonomi negara setanding dengan negara membangun lain. Dalam keadaan ekonomi negara kurang stabil dan kos kehidupan semakin tinggi rakyat kurang berminat untuk membicarakan peralihan kuasa pucuk pimpinan negara dalam masa yang singkat. Harapan rakyat kepada kerajaan baharu adalah menunaikan janji sepertimana dilaungkan kepada mereka semasa kempen pilihan raya umum dahulu.

Realiti yang wujud dalam arena politik adalah apabila berlaku peralihan kuasa dalam masa singkat, maka berlaku pelbagai perubahan yang mana boleh melemahkan sistem pentadbiran negara. Oleh itu, tumpu perhatian kepada kepimpinan dan pentadbiran bukan perebutan kuasa.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam 
Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini