Iktiraf 'Kabinet bayangan' - Utusan Malaysia

Iktiraf ‘Kabinet bayangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
Selaras dengan usaha untuk mereformasikan Parlimen, kerajaan dicadangkan memberi satu bentuk pengiktirafan secara rasmi serta menyalurkan peruntukan tetap kepada ‘Kabinet bayangan’ yang telah dibentuk oleh ahli Parlimen pembangkang.

Amalan mewujudkan sebuah ‘Kabinet bayangan’ ini bukanlah satu amalan asing kerana banyak negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di serata dunia memiliki ‘Kabinet bayangan’ seperti United Kingdom, Australia, Kanada, Jepun, New Zealand, Afrika Selatan dan Thailand.

Sehingga hari ini, ramai antara kita masih belum faham atau pun kurang jelas mengenai apakah itu ‘Kabinet bayangan’ sebenarnya. Apakah fungsinya di barisan parti pembangkang di dalam Parlimen.

‘Kabinet bayangan’ adalah sebuah institusi yang dibentuk dan dikelolakan oleh barisan parti pembangkang yang ada dalam sesebuah Parlimen khususnya Dewan rakyat.

Ia berfungsi melakukan tugas memantau dan menyemak imbang (check and balance) ke atas segala peraksanaan dan perjalanan pentadbiran Kabinet kerajaan yang ditubuhkan parti memerintah.

Biasanya, ‘Kabinet bayangan’ dibentuk seiring dengan barisan Kabinet kerajaan yang ditubuhkan mengikut portfolio kementerian yang telah dinamakan seperti kewangan, hal ehwal luar, pertahanan, perdagangan antarabangsa dan perindustrian, pertanian dan industri asas tani, pengangkutan, belia dan sukan dan sebagainya.

Untuk pengetahuan umum, ‘Kabinet bayangan’ di negara kita ini tidak diiktiraf langsung sebagai suatu institusi oleh pihak kerajaan sejak 1957. Kerajaan sebelum ini sekadar mengiktiraf jawatan ketua pembangkang di Parlimen.

Tiada juga peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam negara kita mengenai kewujudan dan kedudukan ‘Kabinet bayangan’.

Ketiadaan pengiktirafan juga menyebabkan ahli – ahli Parlimen parti pembangkang tidak dapat melakukan tugas memantau dan semak dengan cara yang lebih berkesan, profesional serta sistematik.

Adalah penting kerajaan baharu sekarang mengambil satu langkah berani dengan memberi pengiktirafan rasmi terhadap penubuhan ‘Kabinet bayangan’ supaya ini menjadi satu amalan dalam sejarah perjalanan pentadbiran negara kita buat selama-selamanya.

Pada masa sama, pihak pembangkang juga perlu melihat penubuhan ‘Kabinet bayangan’ dari sudut yang lebih positif. Diharap ahli parti pembangkang yang dilantik sebagai anggota ‘Kabinet bayangan’ dapat menilai lebih terperinci terhadap semua anggota jemaah menteri yang dilantik.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW,

USIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN