Pada April lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pernah memuji dan berterima kasih kepada Presiden China, Xi Jinping kerana membantu membawa Korea Utara dan Korea Selatan ke meja rundingan untuk mengakhiri perang Korea dan melucutkan senjata nuklear di Semenanjung Korea.
“Tolong jangan lupa pertolongan besar yang diberi oleh sahabat baik saya, Presiden Xi dari China kepada AS terutama dalam isu Korea Utara. Tanpa beliau, proses itu akan menjadi lebih panjang dan sukar,” kata Trump melalui Twitter.
Namun bulan September, istilah ‘sahabat baik’ telah tiada antara kedua-duanya malah hubungan dua negara itu semakin buruk sehingga melangkaui isu tarif perdagangan.
Bulan tersebut menyaksikan Trump membuat tuduhan bahawa Beijing cuba campur tangan dalam pilihan raya Kongres AS yang bakal diadakan pada 6 November ini.
Kata Trump, hubungan persahabatan beliau dengan Jinping akan berakhir ekoran isu campur tangan tersebut.
Pada masa yang sama, China pula berang ekoran sekatan AS terhadap Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) untuk membeli senjata dari Rusia.
Dalam isu politik, Trump dikatakan memperhebatkan kempen menekan China dengan alasan Beijing tidak mahu parti Republikan menang ekoran pendirian tegas AS dalam isu tarif.
Namun Trump tidak dapat mengemukakan perincian yang membuktikan penglibatan China dalam pilihan raya terbabit.
China menafikan segera tuduhan Trump dan tidak mahu memperbesar isu sebaliknya Beijing dikatakan bertindak membatalkan rundingan ketenteraan dengan Washington berhubung sekatan berkenaan dan tidak membenarkan kapal perang AS melawat Hong Kong pada bulan depan.
Dalam isu ketenteraan pula, Beijing menyifatkan sekatan AS itu sebagai tanda sokongan kuat AS untuk melepaskan Taiwan daripada cengkaman China.
Ketika banyak pihak mengandaikan pemimpin China dan AS kini bukan lagi sebagai pesaing tetapi sebaliknya sebagai musuh, diplomat kanan China, Wang Yi segera meredakan keadaan dengan menegaskan semua pihak ‘tidak perlu panik’ terhadap ‘pergeseran’ antara Beijing dan Washington.
“Kami (China dan AS) boleh menyelesaikan pergeseran dan kesulitan yang berlaku sekarang,” katanya.
Semasa menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Yi berkata, tindakan perlu dilakukan untuk mengekalkan hubungan antara kedua-dua negara dan ‘sejarah akan mengingati mereka yang mengetuai usaha tersebut’.
Cuma kata beliau, China mengutuk tindakan ugutan dan tekanan yang dibuat oleh AS selain menegaskan Beijing tidak bercita-cita untuk mengambil alih peranan AS sebagai kuasa unggul dunia.
“China akan mengekalkan komitmen sebagai juara multilateralisme. Kita perlu meneruskan kerjasama menang-menang dan menggantikan konfrontasi dengan kerjasama, paksaan dengan rundingan,” katanya.
Bekas diplomat China, Ruan Zongze yang kini bertugas di bahagian Kajian Antarabangsa Institut China menegaskan, adalah tidak realistik untuk memikirkan bahawa kedua-dua negara akan ‘berpisah’ sedangkan mereka mempunyai hubungan antara satu sama lain.
“Keadaan sekarang adalah seperti dua orang yang sedang bertelagah. Adakah kamu berjaya menyelesaikan masalah jika kamu tidak lagi bercakap antara satu sama lain,” katanya.










