Harta pusaka kena cukai? - Utusan Malaysia

Harta pusaka kena cukai?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG
HAMPIR setengah tahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan dan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Rakyat kini bakal berhadapan dengan ‘cukai baharu’.

Apa bentuk dan kaedahnya masih belum jelas. Yang jelas, rakyat seolah-olah diperdayakan. Mansuh GST, ganti dengan ‘cukai baharu’.

‘Cukai baharu’ ini khabarnya melibatkan harta pusaka. Barangkali ramai yang terkejut, harta pusaka kena cukai. Sebut pasal harta pusaka, tentu ada kaitan dengan orang Melayu. Kerana orang Melayu suka meninggalkan harta pusaka. Tanah ‘sekangkang kera’, rumah sebesar ‘reban’ kain baju ‘segendong batik’ pinggan mangkuk ‘sedulang tembaga’. Itulah harta pusaka orang Melayu. Apakah dikenakan cukai?

Memuatkan artikel berkaitan…

Orang kaya-raya, tidak ada harta pusaka. Harta mereka diurus dengan baik. Status harta pusaka mereka amat mudah ‘dipadamkan’.

‘Cukai baharu’ ini kononnya hendak membayar hutang negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Alasan hutang negara telah menjadi ‘modal politik’ kerajaan PH untuk tidak menunaikan janji. Barangkali alasan ini akan berterusan sehingga PRU-15.

Untuk meraih simpati, maka ditubuhkan Tabung Harapan Malaysia. Kutipan tabung tersebut kononnya hendak bayar hutang negara. Sudah bayar ke? Ingatlah bahawa itu wang rakyat.

Mungkin juga ada yang tertanya-tanya, negara berhutang dengan siapa? Kalau berhutang dengan Bank Dunia, itu adalah amalan biasa.

Tentu boleh tunjukkan bukti. Kalau berhutang dengan ceti atau along, carilah jalan untuk menyelesaikannya.

Khabarnya wang negara banyak tetapi dicuri, dirompak dan disembunyikan di beberapa negara asing. Kenapa tidak bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kembali? Kenapa pula bersungguh-sungguh hendak kenakan cukai baharu kepada rakyat?

Lebih membimbangkan, kerajaan PH berhasrat untuk menjual atau melepaskan beberapa aset negara, termasuk tanah. Tanah siapa? Siapa pembelinya? Negara sudah terlalu miskin ke?

Kenapa tidak ambil sedikit harta orang yang kaya-raya, tauke-tauke besar yang sekarang ini sedang berkira-kira hendak lari daripada cukai setelah GST dimansuhkan.

Rakyat sedia berkorban, tetapi kerajaan perlu jujur dan telus. Singkap kembali mimpi Nabi Yusuf, tujuh ekor lembu kurus memakan tujuh ekor lembu gemuk.

Kalau Nabi Yusuf a.s menyimpan stok makanan selama tujuh tahun, apakah kita tidak boleh berjimat- cermat selama tujuh tahun?

NAZRI SHAM

Chenor, Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini