Hargai peranan penjawat awam - Utusan Malaysia

Hargai peranan penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG.
Kematian adalah pengakhiran kepada semua yang bernyawa. Mati itu juga adalah benar dan itulah janji Allah SWT dan ketentuan-Nya.

Pastinya ada dalam kalangan netizen yang berfikiran dangkal akan memberi tafsiran iaitu kerjaya anggota bomba yang terkorban baru-baru ini adalah pilihan mereka sendiri yang sememangnya berisiko tinggi.

Jika difikir secara bijaksana anggota terbabit berkerja untuk negara, menyelamatkan nyawa dan harta benda, walaupun misi menyelamat hanya seorang remaja berusia 17 tahun yang bukan ada talian persaudaraan pun. Jasa bakti mereka bukan terarah hanya kepada anak VIP atau anak golongan elit.

Begitulah mulia dan ikhlasnya bakti anggota bomba.

Dalam sekelip mata, mereka keluar rumah waktu pagi hari dengan lambaian isteri dan anak-anak tetapi yang mencengkam hiba pada hari yang sama bapa dan suami mereka terus tidak pulang buat selama-lamanya.

Seakan-akan nyawa semudah itu terkeluar dari sangkarnya.

Hanya tubuh kaku ditatap dengan hati yang renyuk berkecai. Moga para isteri tabah mengharungi ujian secara tiba-tiba ini.

Kerajaan wajar menyelami emosi ketidaktentuan keluarga yang ditinggalkan ini. Isteri kehilangan tempat berteduh, manakala anak-anak kecil kehilangan tempat bermanja pada usia muda kerana terpaksa mengharung getir dan kesepian. Inilah takdir.

Adalah diharapkan tragedi menimpa anggota bomba ini dijadikan iktibar. Jangan terlalu mudah mengeluarkan kenyataan terutama melibatkan isu politik termasuk hutang negara.

Sepatutnya apa yang telah dinikmati oleh penjawat awam selama ini diteruskan atau ditambahbaik. Bukan dicantas atau dihapuskan sebab mereka adalah antara penyumbang kepada kerajaan hari ini yang berada di tampuk pemerintahan negara.

Penjawat awam yang terdedah dengan risiko tinggi sehingga boleh terkorban semasa menjalankan amanah termasuk polis dan tentera bukan impikan anugerah bintang. Tetapi cukuplah sekadar pihak kerajaan terus memberikan kebajikan kepada mereka serta keluarga.

Penjawat awam seperti ini bagi mereka memadai kerana dapat menyumbang tenaga kepada rakyat dan negara.

Peristiwa meragut nyawa enam anggota bomba itu impaknya sungguh menyentuh dan berasa amat terkesan pada sanubari ramai rakyat.

Amatlah diharap semoga kerajaan akan mengkaji dan menyemak semula keputusan menghapuskan BR1M atau bonus kepada penjawat awam.

Ini kerana penjawat awam sudah jelas terbukti menjalankan tugas sebagai kakitangan kerajaan yang bersedia dan rela berkorban apa sahaja termasuk harta dan nyawa sendiri.

Saya bangkitkan soal BR1M dan bonus ini hanya satu tujuan iaitu berilah penghargaan kepada penjawat awam termasuk anggota bomba dan banyak lagi.

BR1M dan bonus itu sebenarnya hanyalah sumbangan kecil sahaja berbanding tugas serta peranan yang diberikan oleh semua penjawat awam di negara ini.

Malah, tugas serta peranan itu bukannya boleh dibeli atau ditukar ganti dengan wang ringgit. Ia lebih sekadar satu sumbangan kecil sahaja. Jadi kerajaan perlu fikirkanlah perkara ini.

MAZLEE JAAFAR

Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN