NEW YORK 18 Okt. – Lewis Hamilton kini hanya menunggu masa sahaja untuk bergelar juara dunia perlumbaan kereta Formula Satu (F1) buat kali kelima menjelang berlangsungnya Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) di Litar Austin hujung minggu ini.
Jika itu menjadi kenyataan, pelumba dari Britain itu sudah semakin menghampiri rekod tujuh kejuaraan yang dipegang Michael Schumacher sebelum ini.
Bagaimanapun Hamilton berkata, dia tidak pernah terfikir untuk mengejar rekod Schumacher lagi buat masa ini kerana tumpuannya lebih kepada untuk menikmati detik kemuncak dalam kariernya.
“Secara jujur itu (kejar rekod Schumacher) tiada dalam perancangan dan matlamat saya lagi setakat ini. Saya sudah pun berjaya menyamai pencapaian Ayrton Senna dua tahun lalu. Pada saya rekod Schumacher terlalu hebat dan masih jauh untuk dikejar.
“Jadi memandangkan saya masih mampu berlumba lagi, saya hanya perlu meneruskan kerja keras dan mencuba apa yang mampu saya lakukan untuk menikmati detik ini. Dari situ nanti saya akan tahu ke mana saya akan pergi selepas ini,” katanya.
Hamilton yang menggunakan jentera Mercedes hanya perlu memungut lebih lapan mata sahaja daripada GP AS untuk mengesahkan kedudukannya selaku juara dunia F1 musim ini berbanding pencabar terdekatnya, Sebastian Vettel dari Ferrari.
Ini bermakna jika Hamilton menjuarai GP AS, dia akan mengesahkan kejuaraan dunia buat kali kelima sekiranya Vettel hanya mampu menduduki tempat ketiga dan ke bawah.
Ketika ini Hamilton (331) memiliki kelebihan 67 mata berbanding Vettel (264) dengan tinggal baki tiga lagi perlumbaan musim ini. – REUTERS










