Hafizh ibarat bintang rock di Malaysia - Utusan Malaysia

Hafizh ibarat bintang rock di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Penampilan sulung Hafizh Syahrin Abdullah sebagai pelumba MotoGP negara dalam perlumbaan di tanah air sendiri sememangnya dinanti-nantikan peminat, maka, tidak hairanlah jika pengurus pasukan Monster Yamaha Tech 3, Herve Poncharal menggelarkannya sebagai bintang rock di Malaysia.

Poncharal berkata, Hafizh tiba di tanah air dengan membawa status sebagai bintang rock dan tumpuan yang diberikan oleh media serta peminat cukup luar biasa menjelang Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

“Pada tahun ini, kami memiliki wira Malaysia iaitu Hafizh Syahrin. Dia akan tiba sebagai bintang rock. Hafizh menjadi tumpuan media sebagai strategi pemasaran GP Malaysia, jadi kami akan sangat sibuk untuk membantu semua orang, khususnya (Datuk) Razlan Razali,” katanya dalam kenyataan yang dipetik menerusi laman web pasukan di sini, hari ini.

Menurut Poncharal, Ketua Pegawai Eksekutif SIC itu merupakan sahabatnya yang telah banyak membantu bagi membawa Hafizh menyertai pasukan dan pihaknya bersedia memberikan kerjasama kepada Razlan.

Mengulas pula mengenai GP Malaysia, jelasnya, SIC merupakan salah sebuah litar yang menarik untuk perlumbaan dan Hafizh sepatutnya mampu memacu jentera lebih laju di trek kegemarannya itu.

“Kami berharap dia dapat berbuat demikian, walaupun Hafizh tidak pernah menunggang jentera MotoGP di Sepang, tetapi perlumbaan ini berlangsung di tanah airnya sendiri dan biasanya bakal memberi kelebihan kepadanya,” ujarnya.

Selepas igauan buruk di GP Australia, setelah Hafizh dan juga rakan sepasukannya, Johann Zarco gagal melengkapkan aksi mereka, Ahad lalu, Poncharal memberitahu, dia tidak sabar kembali ke trek untuk melupakan kenangan pahit itu dan mengalihkan fokus kepada perlumbaan di Malaysia.

Sementara itu, Hafizh dalam kenyataannya kepada media berkata, walaupun semasa perlumbaan keputusan di Phillip Island tidak bagus, tetapi pencapaian pada sesi kelayakan sangat baik.

“Banyak yang saya belajar daripada pelumba handalan di depan saya. Saya akhirnya mampu merapatkan jurang dengan mereka. Cuma nasib tidak menyebelahi saya apabila hilang kawalan di selekoh keempat dan enjin juga secara tiba-tiba kehilangan kuasa. Saya tidak sabar untuk berlumba di tanah air dan memberikan yang terbaik,” kata Hafizh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN