PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah kembali mempamerkan tunggangan positif pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 keseluruhan dalam saingan Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Buriram semalam.
Pada perlumbaan tersebut, pelumba Monster Yamaha Tech3 itu yang memulakan perlumbaan di petak ke-18 berjaya mempamerkan tunggangan cemerlang apabila memintas tiga pelumba di depannya untuk mengutip empat mata penting dalam saingan tersebut.
Kali terakhir Hafizh mengutip mata ialah pada GP Republik Czech, Ogos lalu selepas berdepan masalah untuk mengendali jentera YZR-M1. Pelumba yang terkenal dengan jolokan El Pescao itu ketinggalan 17.691 saat (s) di belakang juara, Marc Marquez yang mencatat masa keseluruhan 39 minit 55.722s.
Meskipun kembali meraih mata, namun Hafizh mengakui dia bergelut dengan keadaan suhu jentera pada awal perlumbaan.
“Saya gembira kerana kembali meraih mata, namun pada sesi latihan pertama sehingga sesi ujian masa kelayakan terpaksa bergelut dengan prestasi apabila hanya mampu berada di kedudukan ke-18. Sudah pasti saya kecewa dengan keadaan tersebut.
“Saya bekerja keras sepanjang minggu ini dan pasukan meletakkan kepercayaan dengan kemampuan saya. Pada awal perlumbaan, suhu minyak terlalu panas dan saya tidak merasai kekuatan jentera. Saya cuba untuk mencari jalan mengatasinya dan mengambil keputusan lebih berhati-hati.
“Pada awalnya saya berjaya memintas Takaaki Nakagami dan saya rasakan mampu untuk mengejar Franco Morbidelli, akhirnya saya berjaya memintasnya. Selepas itu, saya mengekalkan rentak tunggangan.
“Saya akan terus bekerja keras kerana ketika ini saya hanya mencatatkan perbezaan lima mata dengan Morbidelli yang mengumpul 33 mata bagi kedudukan keseluruhan pelumba baharu terbaik,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Dalam kelas Moto3, pelumba Petronas Sprinta Racing, Adam Norrodin turut meraih mata selepas menduduki tempat ke-15. Perlumbaan tersebut dimenangi Fabio Di Giannantonio (Del Conca Gresini).











