Hafizh cemerlang di GP Jepun - Utusan Malaysia

Hafizh cemerlang di GP Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELUMBA terbaik negara, Hafizh Syahrin Abdullah kembali mempamerkan tunggangan terbaiknya apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan 10 pada Grand Prix (GP) Jepun untuk kembali fokus pada perebutan pelumba rookie terbaik Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 ber­usia 23 tahun itu yang memulakan perlumbaan di petak ke-18 mulanya bekerja keras pada awal pusingan, namun dia berjaya me­mintas seorang demi seorang pelumba untuk berada di kedudukan ke-10 di Litar Twin Ring Motegi tersebut.

Meskipun berjaya memintas Franco Morbidelli, Hafizh masih ketinggalan empat mata berban­ding pelumba pasukan Marc VDS itu apabila berada di kedudukan ke-17 dengan keseluruhan 34 mata.

Berbaki tiga perlumbaan musim ini, Hafizh menegaskan, dia akan bekerja keras untuk mengekalkan rentak cemerlang itu untuk mendapatkan penamat terbaik pada penampilan pertama­nya dalam saingan MotoGP.

“Saya gembira berada dalam kelompok 10 terbaik dan ini merupakan keputusan yang saya tunggu-tunggu. Kini saya berjaya meletakkan diri dalam kedudukan 10 terbaik buat kali kedua. Jadi, saya sangat gembira dengan keputusan ini.

“Terima kasih kepada seluruh pasukan kerana menyediakan jentera terbaik dan sentiasa bekerja keras untuk memastikan saya kekal mempamerkan aksi cemerlang pada perlumbaan ini.

“Bagaimanapun, kami akan bekerja keras untuk melakukan persiapan pada perlumbaan seterusnya di Phillip Island, Austra­lia. Saya akui ia bukan mudah tetapi akan cuba melakukan yang terbaik menjelang perlumbaan sendiri di Sepang nanti,” kata Hafizh semalam.

Kali terakhir Hafizh menduduki keputusan terbaik ialah di Argentina apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan keseluruhan.

Perlumbaan seterusnya ialah GP Austra­lia, di Philipp Island sebelum saingan kembali di Sepang, Malaysia yang akan membuka tirai pada 4 November nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN