Guru didakwa cabul murid perempuan - Utusan Malaysia

Guru didakwa cabul murid perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 18 Okt. – Seorang guru lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang murid perempuan berusia 12 tahun, kira-kira dua bulan lalu.

Tertuduh, Nor Azlam Ab. Rahman, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Tertuduh yang mengajar di sebuah sekolah rendah itu didakwa bagi maksud seksual telah menyentuh anggota badan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di dalam makmal sekolah berkenaan di daerah ini kira-kira pukul 2.30 petang pada 4 Ogos lalu.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Fellina Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Azrul Hasyimi Mohammad.

Mohd. Azrul Hasyimi memohon kepada mahkamah agar anak guamnya dilepaskan dengan jaminan kerana tertuduh merupakan seorang guru dan tidak pernah melakukan sebarang kesalahan sebelum ini.

Namun, Hajarul Fellina tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan perbuatan mencabul terhadap kanak-kanak merupakan kesalahan yang serius.

Ahmad Bazli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 14 November depan untuk sebutan semula kes. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN