KOTA BHARU – Seorang guru sebuah sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan mencabul seorang murid perempuannya berusia 12 tahun kira-kira dua bulan lalu.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Tertuduh didakwa bagi maksud seksual telah menyentuh anggota badan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di dalam makmal sekolah berkenaan di daerah ini kira-kira pukul 2.30 petang pada 4 Ogos lalu.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Terhadap Kanak-kanak 2017 yang jika sabit boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan juga boleh disebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Fellina Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Azrul Hasyimi Mohammad.
Mohd. Azrul Hasyimi memohon kepada mahkamah agar anak guamnya dilepaskan dengan jaminan kerana itu merupakan seorang guru dan tidak pernah melakukan sebarang kesalahan sebelum ini.
Bagaimanapun, Hajarul Fellina tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan terhadap kanak-kanak merupakan kesalahan yang serius.
Ahmad Bazli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 14 November depan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE










