Perasaan gugup dan gementar yang ditunjukkan hampir semua peserta program Gegar Vaganza musim kelima (GV5) menjadi punca persembahan pada minggu pengenalan malam Ahad lalu di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedikit menghampakan.
Tempoh hampir 10 tahun tidak menyanyi secara langsung di sebuah pentas berpengaruh menjadi alasan bagi 12 bintang GV5 yang terdiri daripada Amelina, Zamani, Shafiee Rio,Maya,Farawahida, Forteen, Noryn Aziz, Dia Fadila, Billy Zulkarnain, Hetty Sarlene, Safura dan Elite menerima kritikan agak keras daripada juri.
Datuk Ramli MS yang bertindak selaku juri tetap dan Ketua Juri GV5 menjelaskan, biarpun bergelar penyanyi profesional, namun perasaan gemuruh tidak dapat dielakkan, apatah lagi pada minggu pertama pertandingan.
Tidak berasa kecewa atau kurang berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan peserta, Ramli memberitahu, beliau memahami keadaan yang mungkin di luar kawalan penyanyi apabila berada di atas pentas.
“Ada sesetengah perkara tidak boleh dikawal semasa persembahan sedang berlangsung. Bagi minggu ini, memang ramai peserta yang terlalu gugup sehingga menjadikan nyanyian mereka sedikit sumbang tetapi itu perkara biasa dalam dunia seni persembahan.
“Saya berharap pada minggu kedua nanti, perkara sama tidak akan berulang. Saya serta juri lain tidak boleh membantu andai masalah itu berlaku lagi kerana ini pertandingan dan kami mencari yang terbaik,” jelas Ramli usai tamat konsert minggu pertama.
Minggu pengenalan GV5 yang menyaksikan setiap peserta membawa lagu hit masing-masing telah diadili oleh seorang lagi juri tetap iaitu Datuk Khatijah Ibrahim dan juri undangan, Datuk AC Mizal.
Terkejut
Sementara itu, anggota kumpulan Elite yang mendapat markah terendah bagi minggu pertama meluahkan rasa terkejut dengan kedudukan mereka kerana berasakan sudah memberikan yang terbaik dalam persembahan lagu berjudul Tamparan Wanita.
Bagaimanapun, Elite yang dianggotai oleh Sasha Saidin, Azza dan Linda Rafar menerima kritikan juri secara terbuka dan berjanji untuk memperbaiki kelemahan menjelang kemunculan mereka pada minggu kedua sebaik mungkin.
“Kami sudah lama tidak membuat persembahan bersama, jadi kesempurnaan itu memang sukar untuk diperoleh terutama pada minggu pertama. Apa yang penting, saya lihat ramai peminat terhibur.
“Malah Elite menyertai GV5 sekadar untuk berseronok dan demi peminat. Jadi, selagi mereka gembira, kami okey. Selaku penyanyi, kritikan juri kami ambil serius,” kata Azza.
Konsert minggu pertama GV5 menyaksikan tiada penyingkiran berlaku. Untuk minggu kedua, peserta diberi cabaran keluar daripada genre selesa apabila saling bertukar lagu hit sesama sendiri.











