KUALA LUMPUR – Felcra Berhad (Felcra) mengumumkan pelantikan Mohd. Nazrul Izam Mansor sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu bagi agensi itu selama tiga tahun berkuat kuasa Isnin ini.
Pengerusinya, Datuk Nageeb Wahab berkata, pelantikan itu menggantikan Datuk Zulkarnain Md. Eusope yang menamatkan perkhidmatannya bermula hari ini.
“Pelantikan ini dibuat selepas Zulkarnain menamatkan perkhidmatannya atas persetujuan bersama antara beliau, Ahli Lembaga Pengarah Felcra dan Jabatan Perdana Menteri.
“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan melantik Mohd. Nazrul Izam sebagai CEO baharu menggantikan beliau berkuat kuasa 22 Oktober ini,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Felcra di sini hari ini.
Zulkarnain sepatutnya menamatkan kontraknya sebagai CEO Felcra pada Julai tahun depan.
Nageeb memberitahu, Mohd. Nazrul Izam, 43, merupakan ahli korporat berpengalaman selama 18 tahun dalam pelbagai bisnes dan merupakan ahli kepada Akauntan Bertauliah (Malaysia).
“Sebelum ini beliau pernah memegang jawatan Pengarah Urusan Teras Dara Konsortium Sdn. Bhd. dan jawatan penting dalam beberapa entiti korporat yang lain,” ujarnya. – K! ONLINE










