Fattah, Fazura saling melengkapi - Utusan Malaysia

Fattah, Fazura saling melengkapi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Dalam tempoh hampir setahun kami tinggal sebumbung, tak dinafikan masing-masing masih lagi berada pada fasa mengenali antara satu sama lain.

“Komunikasi menjadi jambatan yang mengeratkan lagi hubungan kami sebagai suami isteri dan setiap hari ada sahaja fiil baharu yang dikenal pasti,” ujar Fattah Amin berkongsi kisah rumah tangganya kepada Mega HITS ketika ditemui baru-baru ini.

Aktor tampan itu mengakui, dia merupakan lelaki yang bertuah kerana bertemu jodoh dengan aktres jelita berkenaan memandangkan heroin filem J Revolusi itu tidak pernah lokek memberikan pandangan dan sokongan dalam apa saja keputusan yang perlu dilakukannya.

“Alhamdulillah, kami dipertemu jodoh untuk saling melengkapi setiap kekurangan di dalam diri masing-masing. Fazura seorang yang berkeyakinan tinggi dan sentiasa memberi semangat bukan sahaja kepada saya bahkan orang luar turut merasainya.

“Tidak berniat memberi pujian melambung terhadap isteri sendiri tetapi Fazura adalah sumber inspirasi saya dan juga para peminatnya,” tambah Fattah memuji isteri yang manja duduk di sisinya.

FATTAH FAZURA
 

Pelakon yang sedang menjalani penggambaran filem Mat Kilau itu turut berpendapat, aura positif yang ada di dalam diri isterinya juga banyak mematangkan corak pemikirannya yang lebih muda.

Fattah juga tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana selepas bernikah, rezekinya dalam bidang lakonan dan perniagaan tidak putus-putus termasuk menerima pengiktirafan sebagai salah seorang penerima anugerah Top 100 Most Influential Young Entrepreneur 2018 pada 11 Oktober lalu.

Dilarang masuk dapur

Kebahagiaan pasangan itu tidak hanya terpamer pada wajah mereka sebaliknya turut terpamer pada sosok tubuh Fattah yang kini kelihatan sedikit berisi berbanding ketika belum berkahwin.

Menyedari lelaki yang sudah berkahwin sering berhadapan dengan perubahan fizikal, Nur Fazura mendedahkan, suaminya itu seorang yang sangat gemar menjamah hidangan tidak kira masa.

“Pantang saja saya masak, dialah yang akan bersungguh-sungguh makan tidak kira waktu. Beberapa bulan selepas kami berkahwin, barulah saya perasan berat badannya naik terutama di bahagian leher dan bawah dagu. Mukanya juga nampak tembam,” akui Fazura sambil tersenyum nakal.

FAZURA
 

Malah Fazura mengakui, sejak bergelar isteri, dia sendiri semakin rajin ke dapur dan menyediakan apa saja jenis masakan untuk Fattah.

“Apatah lagi, kedua-duanya jenis yang suka makan. Sebab itulah lain macam rajinnya saya kalau masuk ke dapur. Ada saja datang idea nak masak itu dan ini.

“Fattah pula apabila sudah rasa diri ‘mengembang’, terus dia larang saya masuk ke dapur,” katanya meneruskan ketawa.

Bagaimanapun menurut Fazura, dia tidak memaksa Fattah untuk kembali segera mendapatkan sosok tubuh seperti zaman bujang.

FATTAH AMIN
 

“Akan tetapi sebagai seorang pelakon, keterampilan itu amatlah penting dan saya harus mengambil tindakan bagi memastikan saiz fizikal kami relevan untuk ditatap penonton,” tambahnya lagi.

Hadiah peminat

Sementara itu, mengulas kemenangan mereka menerusi tiga buah kategori dalam penganjuran majlis anugerah baru-baru ini, pasangan sensasi itu menekankan bahawa trofi-trofi yang dimenangi adalah hadiah buat peminat, bukannya bersifat peribadi semata-mata.

Kedua-duanya berpendapat, setiap satu trofi yang dimenangi hadir dengan rasa tanggungjawab untuk membuktikan betapa diri mereka layak diberi pengiktirafan sebegitu.

“Sejujurnya, penangan siri Hero Seorang Cinderella masih dirasai sehingga sekarang walaupun setelah setahun drama itu disiarkan.

“Menerusi drama itu jugalah kami dipertemukan dan seterusnya melangkah ke jenjang pelamin,” ujar Fattah sambil dipersetujui Fazura yang duduk di sisinya.

 

Menurut Fazura pula, kesinambungan drama popular tersebut masih berlarutan sehingga kini, sekali gus melayakkan pasangan hero dan heroin berkenaan diangkat selaku pemenang trofi Gandingan Serasi Drama Popular.

Selain menambahkan lagi memori paling manis dalam lipatan minda mereka, aktres yang bakal tampil menerusi filem The Legend of Pontianak itu turut beranggapan bahawa kemenangan mereka adalah hikmah di sebalik pembubaran kelab peminat Fattah.

“Walaupun baru-baru ini kelab peminat Fattah telah dibubarkan, kemenangan ini membawa makna bahawa dia masih mempunyai ramai peminat sejati yang sanggup mengundi,” akui pelakon jelita itu.

Di samping itu, Fattah juga mendominasi kategori Pelakon TV Lelaki Popular, manakala Fazura pula memenangi gelaran Pelakon TV Wanita Popular selain trofi Gandingan Serasi Filem Popular dengan pasangan heronya dalam J Revolusi, Zul Ariffin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN