Fara Hezel terharu tunai impian peribadi, keluarga - Utusan Malaysia

Fara Hezel terharu tunai impian peribadi, keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Okt. – Selepas empat tahun menempuhi cabaran bergelar penuntut dalam jurusan Diploma Pemasaran, penyanyi remaja popular, Fara Hezel, 22, akhirnya berjaya menamatkan pengajiannya menerusi majlis konvokesyen yang diadakan di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak, hari ini.

Menurut kakak kepada Aiman Tino itu, Fara tidak menjangka dapat mengharungi getir bergelar penuntut di institusi pengajian tinggi memandangkan dia terpaksa membahagikan masa antara bidang nyanyian dan pelajaran.

“Pernah satu ketika, saya hampir berputus asa kerana rasa terbeban untuk mengejar impian memperoleh segulung diploma dan cita-cita bergelar seorang penyanyi.

“Akan tetapi, apabila mengenangkan betapa tingginya harapan keluarga terhadap diri ini, itulah yang mendorong saya untuk meneruskan pengajian sehingga habis.

“Tidak berniat untuk membangga diri, saya cuma ingin menasihatkan remaja di luar sana agar mengutamakan pelajaran terlebih dahulu sebelum menggapai kehendak peribadi.

“Kejayaan ini bukan sahaja hadiah paling manis buat diri saya, malah merupakan hadiah paling berharga buat seluruh keluarga,” katanya menyata pendirian.

Dalam perkembangan seni terbaharunya, finalis Gadis Panca 2017 yang baru tampil menerusi single terkini berjudul Ku Pasrah itu berharap kerjaya nyanyiannya terus berkembang.

Ujar Fara, kegagalan di pentas Big Stage 2018 yang disertainya baru-baru ini bukanlah titik noktah karier seninya, malah lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan.

Fara juga menjelaskan, dia bakal menyambung pengajian peringkat ijazahnya di Aswara, namun menunggu waktu yang sesuai untuk membuat permohonan kemasukan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN