KUALA LUMPUR 3 Okt. – Enam anggota bomba dipercayai mati lemas dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Cyberjaya dekat sini malam ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.00 malam itu, kesemua anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor itu dilaporkan lemas akibat dibawa arus deras.
Mangsa yang lemas adalah Mohd. Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Yahya Ali, 24; Mazlan Omarbaki, 25; Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.
Kesemua mayat berjaya ditemukan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang dikejarkan ke tempat kejadian.
Keenam-enam anggota bomba tersebut sebelum itu terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki berusia 17 tahun dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam lombong berkenaan pada pukul 5.50 petang tadi.
Bagaimanapun, remaja 17 tahun yang dikhuatiri lemas masih belum ditemukan.-UTUSAN ONLINE










